KEADAAN rumah yang dimasuki air banjir kilat di kampung Teluk Sera, Lubuk Buntar.  FOTO/IHSAN PEMBACA
KEADAAN rumah yang dimasuki air banjir kilat di kampung Teluk Sera, Lubuk Buntar. FOTO/IHSAN PEMBACA
Azahar Hashim


PERSIAPAN sahur enam keluarga di kawasan Perumahan Awam 2, Bandar Baharu terbantut apabila rumah mereka dimasuki air dalam kejadian banjir kilat yang berlaku awal pagi tadi.

Komander Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim/Bandar Baharu, Leftenan Muda (PA) Moktaruddin Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 3 pagi yang memaklumkan kejadian banjir kilat di kawasan terbabit.

Katanya, enam anggota (APM) yang sentiasa menjalankan rondaan dan pemantauan kawasan berisiko banjir kemudian bergegas ke tempat kejadian.

"Sebaik tiba, pihak kami dimaklumkan penduduk, air mulai naik di kawasan halaman rumah penduduk kira-kira 2 pagi.

“Selepas sejam kemudian, air mulai masuk ke dalam rumah penduduk sehingga paras buku lali.

"Hasil pemantauan pihak kami mendapati, enam rumah di Perumahan Awam 2 di situ dimasuki air dan anggota kami melakukan tindakan membantu mangsa mengalihkan harta benda ke tempat lebih tinggi, bagaimanapun tiada mangsa di pindahkan.

"Anggota kami menjalankan pemantauan di kawasan terbabit untuk melakukan tindakan segera jika paras air meningkat, namun kira-kira 5 pagi keadaan air semakin surut," katanya.

Katanya, beberapa anggota lain turut ditugaskan memantau kawasan berisiko banjir sekitar pekan Bandar Baharu, dan mereka mendapati paras air tidak membimbangkan dan pemantauan terus di lakukan sehingga keadaan paras air kembali seperti biasa.

Katanya lagi, dalam keadaan cuaca yang tidak menentu serta sering hujan setiap petang, pihaknya sentiasa bersedia serta menempatkan anggota untuk memantau kawasan yang berisiko banjir.

"Saya ingin menasihati penduduk di kawasan berisiko banjir sentiasa berjaga-jaga dan menghubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan jika kawasan mereka dilanda banjir dan sentiasa bersiap sedia sekiranya perlu dipindahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mei 2018 @ 12:14 PM