Zuliaty Zulkiffli

Bandar Baharu: Hujan lebat melebihi dua jam hari ini menyebabkan 15 rumah penduduk di tiga kampung di daerah ini terjejas akibat banjir kilat.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, antara kampung terbabit adalah Kampung 300 Kaki, Kampung Paya Semambung dan Kampung Kilang Batu di Mukim Relau.

Beliau berkata, selain itu, Kampung Tengah di Mukim Serdang dan Kampung Balai Lama di Mukim Sungai Kechil Hilir.

"Banjir kilat mula berlaku pada jam 4.20 petang selepas hujan lebat lebih dua jam bermula jam 3 petang hari ini.

"Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bandar Baharu turut melakukan pemantauan paras air sungai, dan mendapati paras air sungai di kawasan yang dilanda banjir kilat juga berada dalam keadaan waspada serta air sungai bergerak dalam keadaan laju," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Rahim berkata, APM juga menasihati penduduk supaya sentiasa berwaspada sekiranya berlaku hujan lebat dan paras air semakin meningkat.

Beliau berkata, selain itu hasil pemantauan juga mendapati, jalan perhubungan penduduk di Mukim Relau ada yang sudah terputus.

"Anggota kami turut membantu angkat barang-barang mangsa dan operasi penyelamatan masih dilakukan.

"Bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini dan keadaan ketika ini masih hujan lebat," katanya.

AIR DERAS akibat limpahan air sungai memasuki rumah penduduk susulan hujan lebat melebihi dua jam. FOTO IHSAN APM
AIR DERAS akibat limpahan air sungai memasuki rumah penduduk susulan hujan lebat melebihi dua jam. FOTO IHSAN APM

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 7:15 PM