Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Penduduk di beberapa kampung sekitar Sungai Anak Bukit di sini, bimbang apabila mendapati paras air sungai berkenaan semakin meningkat.

Tinjauan di sepanjang Sungai Anak Bukit hari ini mendapati, paras bacaan air sungai itu kini hampir melepasi peringkat waspada (kuning).

Antara kampung terbabit adalah Kampung Alor Madi, Kampung Chegar, Kampung Alor Gunung dan Taman Aman, Anak Bukit yang berisiko berlakunya banjir.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, pemantauan paras air sungai dilakukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kota Setar di sekitar kawasan Sungai Anak Bukit terutamanya di lokasi berisiko banjir.

Beliau berkata, tumpuan diberikan di kawasan di tepi sungai yang kerap berlaku banjir termasuk banjir kilat dan air pasang besar.

"Pada pemantauan hari ini, anggota kami turut memberi nasihat kepada penduduk yang paling hampir dengan sungai supaya bersiap sedia untuk berpindah sekiranya kawasan itu dinaiki air.

"Keadaan paras air sungai pada jam 11.50 pagi hari ini mendapati ia masih terkawal iaitu 1.96 meter dan hampir mencecah paras waspada dalam keadaan hujan," katanya dihubungi.

ANGGOTA APM Kota Setar melakukan pemantauan di kawasan Sungai Anak Bukit yang semakin meningkat dan hampir melepasi peringkat waspada. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA APM Kota Setar melakukan pemantauan di kawasan Sungai Anak Bukit yang semakin meningkat dan hampir melepasi peringkat waspada. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Norlizawati berkata, pihaknya sentiasa peka dengan ramalan cuaca serta mendapatkan maklumat daripada laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) serta Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah.

Penduduk Kampung Alor Gunong, Abu Bakar Md Zain, 63, berkata, kawasan kampung berkenaan pernah beberapa kali dilanda banjir dan keluarganya akan bersiap sedia untuk berpindah sekiranya air sungai melimpah ke jalan.

Katanya, penduduk bimbang dengan keadaan cuaca sekiranya hujan lebat melanda pada waktu petang.

Ini kerana, mereka bimbang paras air meningkat.

"Kami akan sentiasa lihat paras air. Jika arusnya deras selain meningkat mendadak, kami akan kemas dokumen penting dan lain-lain yang berkaitan.

"Kami bimbang berlaku banjir besar seperti yang melanda pada 2010. Ketika itu, banyak rumah di kawasan kampung ini, termasuk taman perumahan, dinaiki air sehingga menyebabkan sebahagian daripada kami berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," katanya ditemui hari ini.

Abu Bakar berkata, lebih membimbangkan jika paras air meningkat pada waktu malam ketika penduduk sedang tidur.

Sementara itu, Hassan Ibrahim, 71, berkata, walaupun rumahnya di Taman Aman tidak diingini air pada bencana banjir 2010, namun sebahagian besar penduduk di kawasan berkenaan terputus hubungan berikutan jalan ditenggelami air.

"Ketika ini, paras air sungai sedang meningkat. Oleh itu, penduduk di kawasan ini perlu terus berhati-hati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Oktober 2022 @ 1:20 PM