Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Hujan lebat serta angin kencang sejak jam 3 pagi semalam menyebabkan lebih 100 rumah dinaiki air di Jalan P Ramlee, di sini.

Dalam kejadian banjir kilat itu, kawasan berkenaan dinaiki air sehingga paras pinggang menyebabkan beberapa rumah penduduk dimasuki lumpur.

Seorang penduduk, Jamaludin Murad, 41, berkata, hujan lebat kali ini tidak begitu serius berbanding sebelum ini.

Menurutnya, biarpun air mencecah hingga paras pinggang, dia bernasib baik kerana tiada barangan yang rosak dan hanya baju dan buku sekolah anak basah.

Katanya, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana air naik dengan cepat dan hanya sempat mencapai apa yang sempat untuk diselamatkan.

“Syukur Alhamdulillah tiada sebarang kemalangan atau kecederaan berlaku dan saya letih kerana dari pagi hingga tengah hari membersihkan rumah.

“Masalah banjir kilat ini seharusnya diselesaikan kerajaan negeri tetapi sehingga ke hari ini masalah yang berlaku sejak puluhan tahun lalu masih berlaku,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, paras air sungai di beberapa kawasan mencatatkan peningkatan termasuk Sungai Pinang mencatatkan paras bahaya sedalam 2.80 meter diikuti Sungai Air Itam sedalam 7.03 meter pagi semalam.

Paras air di Sungai Dondang turut mencatatkan paras bahaya apabila air naik sedalam 20.43 meter menyebabkan kawasan sekitar Kampung Masjid Hashim Yahya, Jalan P Ramlee dan Lengkok P Ramlee ditenggelami banjir kilat.

Lebih 20 pegawai dan anggota dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Timur Laut bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat melakukan pemantauan memeriksa keadaan paras air termasuk mengawal lalu lintas.

Paras air mulai surut pada jam 7.39 pagi dan hujan sudah berhenti dan semua dalam keadaan terkawal dan tiada mangsa atau pusat pemindahan dibuka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 7:42 AM
HASBULLAH Mohd Khalid membersihkan rumahnya yang dipenuhi selut selepas dilanda banjir kilat di Jalan P Ramlee awal pagi semalam.
HASBULLAH Mohd Khalid membersihkan rumahnya yang dipenuhi selut selepas dilanda banjir kilat di Jalan P Ramlee awal pagi semalam.