ANGGOTA APM memantau keadaan banjir di Kampung Badlishah, Bandar Baharu, hari ini. FOTO Ihsan APM
ANGGOTA APM memantau keadaan banjir di Kampung Badlishah, Bandar Baharu, hari ini. FOTO Ihsan APM
Azahar Hashim


KIRA-KIRA 11 buah kampung di daerah Kulim dan Bandar Baharu terjejas selepas dilanda banjir kilat akibat hujan lebat sejak petang tadi.

Hujan yang melanda bermula 3 petang itu menyebabkan Kampung Tebuan, Jalan Baru, Sungai Sedim, Klinik Sungai Kob dan Kampung Banggol Penyengat di Kulim dinaiki air.

Manakala di Bandar Baharu pula, kampung yang terjejas ialah Kampung Terap Batu 10, Terap, Batu 12, Kampung Baru, Tengah Serdang, Kampung Badlishah, Sungai Tengas dan Kampung Paya Salak.

Komander Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kulim/Bandar Baharu Leftenan Muda (PA) Moktaruddin Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6 petang tadi.

Katanya, akibat kejadian itu, sebanyak 10 buah keluarga dari Kampung Tebuan dan Jalan Baru di Mukim Sedim dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Lindungan Raja.

“Jumlah sebenar masih belum diketahui kerana kami sedang menjalankan operasi serta pemantauan di kawasan terbabit.

“Seramai 12 anggota APM Daerah Kulim/Bandar Baharu digerakkan di dua kawasan terbabit bagi memulakan operasi pemindahan,” katanya ketika dihubungi tadi, sebentar tadi.

Katanya, pihak APM menasihati penduduk di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa berjaga-jaga dan menghubungi talian kecemasan 999 untuk bantuan bagi mendapatkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 10:48 PM