JALAN raya sekitar Pekan Kuala Kedah yang digenangi air berikutan air pasang besar. FOTO Zuliaty Zulkifli.
JALAN raya sekitar Pekan Kuala Kedah yang digenangi air berikutan air pasang besar. FOTO Zuliaty Zulkifli.
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Lima kawasan di empat daerah di negeri ini terjejas akibat banjir kilat disebabkan fenomena air pasang besar yang berlaku hari ini.

Antara kawasan terbabit adalah Kampung Kepala Jalan di Kuala Muda, kawasan Kuala Kedah di Kota Setar, kawasan Kuala Sungai Yan di daerah Yan dan Kuala Jerlun serta Kuala Sanglang di daerah Kubang Pasu.

Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata, banjir kilat berlaku susulan hujan lebat berlarutan selama sejam bermula jam 12.30 tengah hari.

Beliau berkata, kejadian ini dipercayai berpunca akibat limpahan air pasang yang berlaku dengan ketinggian hampir tiga meter di laut.

"Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah kini giat melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan keadaan banjir kilat tidak mengancam keselamatan penduduk setempat.

"Hasil pemantauan mendapati banjir kilat yang berlaku di paras iaitu 0.5 meter malah terdapat beberapa premis dan kenderaan awam turut dimasuki air iaitu di kawasan Kuala Kedah dan Terminal Feri Kuala Kedah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata, sehingga jam 4 petang ini, keadaan cuaca semakin baik malah kejadian banjir makin pulih dan surut.

Beliau berkata, APM juga bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku dan menasihati supaya penduduk yang berisiko sentiasa berjaga-jaga dengan keadaan semasa dengan mengelakkan berada di kawasan tepi pantai.

Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah turut mengarahkan empat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) melakukan pemantauan berikutan fenomena air pasang besar itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, empat BBP terbabit adalah Alor Setar, Jalan Raja yang membabitkan kawasan Kuala Kedah manakala BBP Yan dan Sungai Petani di kawasan Kuala Muda.

Beliau berkata, pemantauan dilakukan setiap empat jam sekali untuk memastikan keadaan terkawal dan setakat ini air pasang sudah surut sepenuhnya hari ini.

"Penduduk di kawasan berisiko dinaiki air berikutan fenomena itu dinasihatkan supaya sentiasa bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan kediaman mereka dinaiki air dan patuhi arah pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 5:10 PM