ANTHONY Kim. FOTO Agensi
ANTHONY Kim. FOTO Agensi
AFP

Los Angeles: Pemenang tiga kali Tour PGA Anthony Kim bersedia menghangatkan kembali saingan golf profesional dunia di LIV Golf Jeddah, menurut laporan Golf Channel semalam.

Pemain berusia 38 tahun itu yang kali terakhir bermain secara profesional pada 2012 akan bersaing di Arab Saudi atas tiket 'wildcard'.

Kim yang menamatkan saingan di tangga ketiga dalam Kejohanan Masters 2010 terpaksa berehat seketika daripada dunia golf selepas mengalami kecederaan tumit pada 2012.

Ekoran masalah itu, dia terlepas beraksi dalam beberapa kejohanan utama dunia sepanjang tempoh berkenaan.

Namun segala penderitaan Kim tampaknya sudah berakhir apabila dia dilihat sudah cergas sepenuhnya untuk kembali ke dunia golf profesional.

Untuk rekod, Kim pernah berada di ranking kelapan dunia dengan pencapaian terbaik menjuarai Kejohanan Wachovia dan Kebangsaan pada 2008 dan Terbuka Houston pada 2010.

Dia juga adalah tonggak utama dalam pasukan Amerika Syarikat dalam saingan Piala Ryder 2008 dan Piala Presidents 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 12:12 PM