SURIN (kiri) dan Dylan bergambar di kedai buku dan kafe Sunda Shelves di Damansara Kim.
SURIN (kiri) dan Dylan bergambar di kedai buku dan kafe Sunda Shelves di Damansara Kim.

Petaling Jaya: Mereka yang pertama kali menjejak kedai buku Sunda Shelves, pastinya akan tercari-cari di mana lokasi kerana letaknya di tingkat atas deretan kedai di kawasan kejiranan Damansara Kim.

Penulis sendiri mengalami perkara yang sama dan sebaik sahaja terpandang papan iklan berwarna putih bertulis tangan Sunda Shelves, rasa gembira seolah-olah berjaya menggali harta karun. Dari stesen MRT TTDI, penulis berjalan kaki ke kedai itu, yang memulakan operasi pada 24 Jun 2023.

Pintu masuk ke kedai itu hanya menggunakan bahan-bahan kitar semula tapi ingat ungkapan berbahasa Inggeris Don't judge a book by its cover, dengan maksud tersirat, 'Jangan menilai buku dengan melihat kulitnya sahaja'.

Selangkah demi selangkah menaiki anak tangga ke tingkat satu dan sebaik sahaja membuka pintu, penulis dapat menghidu aroma kopi dan juga bau asli buku yang mengisi ruang kedai.

"Selamat tengah hari! Selamat datang ke Sunda Shelves!" Pengurus buku Jennifer Neoh Tan menyambut kedatangan penulis sambil tersenyum.

"Tunggu saya panggil Surin dan Dylan, pengasas bersama kedai ini,"kata Jennifer.

Sementara menunggu Surin Suksuwan, seorang penyokong pemuliharaan dan Dylan Jefri Ong, perunding kepelbagaian biologi, untuk wawancara eksklusif ini, penulis mengambil kesempatan meninjau setiap penjuru kedai. Pada tengah hari Jumaat itu, hanya ada dua orang pelanggan.

Di satu penjuru, terdapat kafe dengan kerusi disusun kemas. Di sini pelanggan boleh membaca sambil menghirup kopi. Terdapat juga meja dipenuhi pelbagai jenis cenderahati, pastinya menarik perhatian pelanggan

Beberapa almari diletak di sebelah kanan kafe dengan pelbagai buku lama dan baharu mengenai alam semula jadi mengisi ruang para, dan itulah yang menjadi keistimewaan kedai ini di samping buku sejarah semula jadi rantau ini.

Mereka yang meminati bibliofil tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana ada banyak pilihan, sama ada baharu atau buku terpakai. Menghabiskan masa beberapa jam di kedai ini pastinya berbaloi untuk 'ulat buku' dan pencinta kopi.

"Adik perempuan saya Sumalee Suksuwan menguruskan kafe ini, sementara isteri saya Jennifer mengendalikan operasi kedai buku ini," kata Surin, yang juga seorang perunding bebas alam sekitar dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Apabila ditanya mengapa kedai buku mereka diberi nama Sunda Shelves, Surin dan Dylan tidak terus menjawab, hanya ketawa besar.

"Kami mempunyai idea yang sama untuk mempunyai bengkel buku alam semula jadi. Kami berkenalan semasa mengendalikan projek Taman Negeri Perlis. Dylan seorang sukarelawan dan kemudian menjadi perunding projek itu pada tahun 2000.

"Setelah merancang beberapa tahun, kami membuat keputusan membuka kedai ini dan perancangan bermula pada tahun 2022," kata Surin menambah, nama Sunda Shelves adalah satu istilah geografi.

"Seperti yang kita belajar Geografi di sekolah, Sunda Shelf atau Selat Sunda adalah kawasan maritim cetek termasuk sebahagian Laut China Selatan, Laut Jawa dan Laut Andaman yang menghubungkan kepulauan Indonesia, terdiri daripada pulau-pulau seperti Borneo, Sumatera, Jawa dan Bali ke tanah besar atau benua Asia.

"Kerana fungsinya sebagai jambatan biologi yang membolehkan spesies dari tanah besar Asia bertebaran dan menjadi populasi pulau-pulau, yang menambah kepelbagaian biologi,

"Sunda Shelves adalah tempat tumpuan untuk usaha-usaha pemuliharaan dan penyumbang penting kepada kepelbagaian global kerana ia adalah 'rumah' untuk banyak spesies yang luar biasa dan jarang ditemui," kata Dylan, sambil menambah ia amat sesuai dijadikan nama untuk kafe mereka.

Sunda Shelves pastinya menambat hati pencinta buku dan alam semula jadi yang mahu menambah koleksi buku mengenai alam semula jadi, budaya, sejarah dan pelancongan berkait dengan Malaysia dan tempat lain di Asia Tenggara.

Buat pasangan ini, mungkin agak sukar mendapatkan buku sejarah alam semula jadi di Malaysia.

"Sebelum ini ada sebuah kedai buku di ibu pejabat Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) di Kuala Lumpur tetapi sudah ditutup beberapa tahun lalu.

"Kami mendapat inspirasi untuk membuka Sunda Shelves daripada kedai buku bernama 'The Borneo Shop' di Kota Kinabalu yang juga mengkhususkan sejarah alam semula jadi.
Memandangkan tidak ada kedai buku di Semenanjung yang memberi pengkhususan kepada sejarah alam semula jadi, kami sudah jangka Sunda Shelves adalah unik," kata Dylan.

Menurut beliau, memandangkan juga tidak ada banyak kedai buku di sekitar kawasan Petaling Jaya, faktor itu juga mendorong mereka membuka kedai buku di Damansara Kim.

Surin menambah, meskipun ada kedai buku di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur seperti Petaling Street dan KLCC . Namun begitu, kawasan meletak kereta adalah terhad.

"Sebab itulah kami buat keputusan buka di Damansara Kim dan pelanggan boleh meletak kereta berhampiran stesen MRT," katanya.

Sunda Shelves menawarkan berjenis-jenis buku yang dibeli daripada pelbagai penerbit dan pengedar sementara buku terpakai diperolehi daripada sumbangan awam dan dibeli di pasar buku terpakai.

Buku-buku dikategorikan di bawah nama plants, animals, biodiversity, evolution, environmental issues, travel dan Malaysiana. Sementara itu, buku yang jarang dijumpai disimpan di dalam sebuah almari, berhampiran kaunter.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 7:01 AM