AHMAD Jazlan (kiri)  bersama Mohamed Khaled Nordin ketika hadir Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Machang di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu, malam tadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD Jazlan (kiri) bersama Mohamed Khaled Nordin ketika hadir Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Machang di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu, malam tadi. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Barisan Nasional (BN) Kelantan mencadangkan supaya nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos depan diumumkan lebih awal.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ia bagi memberi ruang kepada calon yang bertanding untuk turun ke akar umbi berjumpa dengan rakyat dan masyarakat.

Katanya, beliau akan berjumpa dengan Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 17 Julai ini untuk untuk memintanya supaya mengumumkan calon lebih awal selain ada apa-apa perkara yang diarahkan khususnya berkaitan dengan PRK Nenggiri.

"Bagaimanapun, biar saya berjumpa Presiden terlebih dahulu, nama calon pun kita tidak tahu, malah Presiden juga belum beritahu Umno Negeri siapa calonnya.

"Ada orang kata umum nama calon awal tidak elok sebab nanti orang cari 'penyakit' calon itu dan ini.

"Sebab mahu BN menang di PRK Nenggiri, jadi kita buat cara baharu. Saya akan minta dengan Presiden untuk mengumumkan calon lebih awal," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Machang 2024 yang dirasmikan Naib Presiden Umno Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini, malam tadi.

Ahmad Jazlan berkata, beliau yang diberi tanggungjawab selaku Pengarah Operasi Pilihan Raya akan memastikan kemenangan BN di PRK Nenggiri.

Terdahulu media melaporkan, Majlis Pimpinan Kerajaan Perpaduan bersetuju meletakkan calon BN pada PRK DUN Nenggiri 17 Ogos depan.

Ketua Sekretariatnya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat yang berlangsung pada 9 Julai yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Dun Nenggiri pada 17 Ogos depan, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.

PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu apabila menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada PRN Ogos tahun lalu, Mohd Azizi menang dengan majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi berbanding calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff yang memperoleh 5,707 undi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 7:54 AM