WOODS (kiri) dan Stricker dinamakan sebagai naib kapten Piala Ryder.
WOODS (kiri) dan Stricker dinamakan sebagai naib kapten Piala Ryder.
Reuters

LOS ANGELES: Kapten pasukan Amerika Syarikat (AS), Jim Furyk hari ini menamakan pemenang 14 gelaran utama, Tiger Woods dan Steve Stricker sebagai naib kapten Piala Ryder.

Furyk membuat pengumuman itu di ibu pejabat PGA di Palm Beach Gardens, Florida dalam usaha pasukan AS menamatkan kemarau 25 tahun kejuaraan Piala Ryder di benua Eropah, tahun ini.

Piala Ryder dijadualkan berlangsung dari 28 hingga 30 September depan di lapangan Le Golf National di Paris, Perancis dengan kali terakhir pasukan AS menang di laman Eropah adalah pada 1993.

“Untuk menang di Paris dengan cabaran yang amat hebat dan untuk memiliki Steve dan Tiger berkongsi perjalanan ini adalah amat penting bagi saya dan juga golf AS,” kata Furyk.

“Kualiti yang dimiliki kedua-dua mereka dalam kejohanan konsep berpasukan dan saingan Piala Ryder amat besar. Pengetahuan dan pengalaman mereka pasti menjadi sumber berharga dalam usaha kami mengekalkan Piala Ryder.”

Furyk, Woods dan seorang lagi naib kapten, Davis Love III bertindak sebagai pembantu kepada kapten pasukan AS, Stricker yang memenangi Piala Presiden tahun lalu.

Woods, 42, turut menjadi naib kapten kepada skuad Piala Ryder AS yang mencatat kemenangan di Hazeltine pada 2016.

Woods yang kali terakhir bermain dalam saingan Piala Ryder pada 2012 berkata, dia bersyukur dilantik sebagai naib presiden tetapi masih meletakkan harapan untuk beraksi.

“Sasaran saya adalah untuk berada dalam pasukan, tapi apa saja yang berlaku di lapangan musim ini, saya akan cuba untuk meneruskan apa yang termampu untuk kami mengekalkan kejuaraan,” kata Woods. “Saya teruja dengan cabaran ini.”

Selain Woods, Stricker dan Love, Furyk akan menamakan seorang lagi naib kapten selepas ini.

AS memenangi kejohanan dwitahunan itu di laman sendiri pada 2016 yang juga kejayaan pertama mereka sejak 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Februari 2018 @ 5:30 PM