FOTO  Resort World Sentosa
FOTO Resort World Sentosa
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Resorts World Sentosa (RWS) bakal menyemarakkan lagi saingan LIV Golf Singapura apabila menjadi rakan kongsi dalam penampilan sulung kejohanan berkenaan dari 28 hingga 30 April ini.

Menurut RWS, mereka sentiasa menjadi destinasi untuk gaya hidup premium berprestij di Asia dan kali ini ia bakal dikunjungi pula bintang golf sensasi dunia.

"Sebagai rakan kongsi penyampai dan hotel rasmi LIV Golf Singapura, RWS sedia memberikan pengalaman hiburan terbaik melalui tawaran barisan restoran tersohor, tarikan bertaraf dunia dan penginapan mewah buat pemain profesional yang bertanding serta peminat dan para pengunjung LIV Golf Singapura.

"Pemain profesional ini akan dapat menikmati hospitaliti terkemuka RWS menerusi pelbagai pilihan penginapan premium di resort bersepadu, termasuk Equarius Villas yang mewah dan mesra alam sekitar.

"Equarius Ocean menawarkan pengalaman tinggal di bawah air dengan pemandangan akuarium menakjubkan, begitu juga Hard Rock Hotel Singapura menyediakan gaya hidup yang hip dan glamor dengan reka bentuk kontemporari moden.

"Selain pelbagai promosi menawarkan tarikan bertema bertaraf dunia, peminat menghadiri LIV Golf Singapura juga berkesempatan menikmati pas keistimewaan golf di RWS merangkumi tawaran makanan dan minuman eksklusif di restoran menarik, hak istimewa membeli-belah di RWS Galleria dan perkhidmatan bas percuma antara resort bersepadu dan Sentosa Golf Club, tertakluk kepada terma dan syarat," katanya.

LIV Golf Singapura menampilkan 48 pemain terbaik dunia seperti Dustin Johnson, Cameron Smith, Phil Mickelson dan Bryson DeChambeau yang akan berentap dalam kedua-dua saingan individu dan berpasukan dengan permulaan serentak (shotgun start).

Petunjuk jelas LIV Golf Singapura mendapat sambutan begitu menggalakkan daripada peminat tempatan mahupun asing adalah apabila penginapan tiga malam RWS dan Pakej LIV Golf habis dijual. Namun, pengunjung masih boleh melayar www.rwsentosa.com bagi mendapatkan maklumat tawaran lain yang terkini.

Untuk merancakkan lagi pengalaman menyaksikan pertandingan LIV Golf Singapura, peminat tidak boleh ketinggalan mengunjungi permukaan pukulan putt 32 meter di RWS – iaitu 'putting green' buatan yang terpanjang di dunia.

Terletak di The Forum, cabaran 'Longest Putt to LIV' akan mengajar para pesertanya dengan pelbagai hadiah menarik disediakan oleh RWS.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 April 2023 @ 6:44 PM