HAYFA Afisya dipangku ibunya, Sunita Massayu manakala gambar kecil si comel bersama kembarnya, Hayfa Afira.
HAYFA Afisya dipangku ibunya, Sunita Massayu manakala gambar kecil si comel bersama kembarnya, Hayfa Afira.
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Kota Tinggi: "Anak kami sangat kuat sejak dalam kandungan biarpun pada awalnya doktor menjangkakan dia tidak dapat bertahan lama namun dengan kuasa Allah SWT, Hayfa Afisya kami diberikan peluang untuk bersama keluarganya di dunia ini," kata Sunita Massayu Abdullah.

Sunita Massayu, 29, ibu kepada pesakit cystic hygroma iaitu gejala abnormal yang terjadi pada leher atau kepala bayi, Hayfa Afisya Zamri yang kini berusia lima bulan.

Penyakit itu menyebabkan benjolan membengkak bermula di bawah mata hingga leher selain lidahnya.

Bayi dilahirkan di Hospital Serdang, Selangor bersama kembar, Hayfa Afira yang tidak mempunyai masalah berkenaan.

Berkongsi kisahnya, Sunita Massayu menetap di Felda Bukit Aping Barat di sini, berkata, doktor mengesan kelainan pada wajah anaknya ketika melakukan ujian imbasan ketika kandungan berusia 18 minggu dan ia meluluhkan hatinya dan suami, Zamri Jaffar, 31.

"Doktor beritahu kebanyakan bayi yang dikesan mempunyai masalah itu tidak dapat bertahan lama dan disaran menamatkan kandungan (untuk Hayfa Afisya) namun apabila doktor cakap semua organ anak berfungsi dengan baik dan perkembangannya juga baik, kami anggap ia rezeki.

"Jadi kami pilih melahirkan kedua-dua anak dan Alhamdulillah doktor menyambut kelahiran bayi kembar menyakinkan anak kami boleh bertahan meneruskan kehidupannya selepas dilahirkan," katanya.

Menurutnya, Hayfa Afisya sudah menjalani pembedahan membuang ketulan ketika berusia lebih sebulan namun ia semakin membesar dan kini bergantung dengan tiub untuk minum susu khas.

"Anak kini bergantung dengan ubat khas bernilai RM24,000 selama enam bulan bagi mengecutkan benjolan itu. Perkembangannya ketika ini biasa cuma agak lambat berbanding kakak kembarnya.

"Buat masa ini kami bernasib ubat khas itu dibantu pihak hospital dan kami tanggung kos lain seperti peralatan perubatan, ubat dan vitamin dan susu khas dengan memerlukan lebih RM1,000 sebulan.

"Pemeriksaan susulan anak setiap minggu di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan Hospital Kota Tinggi. Kami ke Hospital Serdang setiap bulan untuk pemeriksaan," katanya memberitahu suami bekerja sebagai pemandu lori dan dia suri rumah.

Menurut ibu kepada empat anak itu, dia bersyukur Allah SWT memberi peluang untuk anak bongsunya meneruskan kehidupan biarpun berdepan ujian getir sejak dalam kandungan dan mengakui kebesaran Allah juga memberi kekuatan untuk bayinya terus bertahan.

"Saya tidak mahu menidakkan peluang anak untuk hidup sedangkan Allah memberi organ berfungsi dengan baik untuknya dalam keadaan dia mempunyai benjolan abnormal itu jadi saya tidak pernah rasa penat menjaganya apatah lagi malu dengan fizikalnya.

Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Rakyat 220331517720 atas nama Zamri Jaffar atau menghubunginya di talian 019-8740709.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 7:10 AM