Muhamaad Razis Ismail

DARI jauh kelihatan seorang wanita sedang memanjat tembok batu tiruan.

Pergerakannya yang lincah dan bersahaja, boleh membuat sesiapa sahaja terpaku dengan aksi wanita bertubuh kecil ini.

Sesekali, Puteri NurFarzierra Zailani, 26, ini dilihat bergayut dalam keadaan terbalik dengan menggunakan dua jari.

Paling mengujakan, apabila gadis yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur ini melakukan aksi 'dyno' iaitu melonjakkan badan seberat 50 kilogram dengan mudah sebelum tangannya mencapai 'climbing hold.'

Bagi penonton, aksi seperti ini cukup menggerunkan apatah lagi ia dilakukan pada ketinggian sehingga hampir 20 meter yang pasti mengundang bahaya.

Namun baginya, aksi seumpama itu adalah keseronokan dan kepuasan yang diperoleh sebagai peminat aktiviti mendaki tembok.

Untuk sampai ke tahap itu, bukan satu perkara yang mudah kerana seseorang itu memerlukan kekuatan fizikal dan mental selain menuntut minat, komitmen serta disiplin yang tinggi.

Mengimbau pembabitannya dalam sukan lasak itu, Puteri berkata, sejak kecil dia sudah didedahkan dengan pelbagai aktiviti sukan seperti bola sepak, berenang dan taekwondo.

Katanya, pembabitannya dengan sukan mendaki tembok tiruan bermula pada tahun 2022 bertujuan ingin mencuba dan mengisi masa lapang.

"Minat terhadap sukan lasak ini semakin bertambah apabila bertemu dengan individu dan komuniti yang memberi dorongan untuk terus melakukan aktiviti ini sehingga hampir setiap minggu saya akan memanjat apabila mempunyai masa terluang.

"Malah saya juga ambil kesempatan mencabar diri mendaki tembok batu asli atau dikenali sebagai 'rock climbing' di lokasi menarik di dalam mahupun di luar negara.

"Pada masa sama, saya juga aktif menyertai pertandingan mendaki tembok tiruan dan yang terbaru saya berjaya mendapat tempat kedua bagi kategori Novice wanita," katanya.

Puteri berkata, aktiviti mendaki tembok banyak memberi manfaat bukan sahaja kepada kekuatan fizikal dan mental malah menjadikan dirinya seorang yang lebih berdisiplin.

"Untuk berkembang dalam sukan ini tiada jalan pintas melainkan perlu konsisten menjalani latihan, mendapatkan rehat yang mencukupi dan menjaga pemakanan.

"Selain itu, sebagai individu yang sukakan cabaran, sukan ini memerlukan saya menguasai kemahiran dan pergerakan yang berbeza," katanya.

PUTERI berjaya membuktikan kemampuan diri dalam aktiviti memanjat tembok tiruan.
PUTERI berjaya membuktikan kemampuan diri dalam aktiviti memanjat tembok tiruan.

Jelasnya tidak dinafikan, sukan lasak seperti mendaki tembok mempunyai risiko tersendiri sekiranya aspek keselamatan diabaikan.

"Pada awal pembabitan dengan sukan ini, saya sendiri pernah mengalami kecederaan termasuk mengalami terseliuh kaki akibat kecuaian sendiri sehingga terpaksa berehat selama sebulan.

"Bagaimanapun, kejadian itu tidak mematahkan semangat untuk terus bergiat aktif dengan aktiviti lasak ini sekali gus menjadi pengajaran berguna untuk lebih menitik beratkan aspek keselamatan," katanya.

Melihat aksi lincah Puteri, pasti ramai yang menyangka bahawa wanita ini adalah pendaki tembok profesional.

Hakikatnya, anak keempat daripada enam beradik ini, adalah penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS), Universiti MAHSA.

Sebagai penuntut universiti, Puteri perlu bijak menguruskan masa supaya aktiviti mendaki tembok yang dilakukan setiap minggu tidak mengganggu pelajarannya.

"Apabila berada di universiti, saya akan berikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran dan cuba menyiapkan tugasan sekiranya mempunyai masa terluang. Malah ketika melakukan aktiviti mendaki tembok, saya akan cuba mencuri masa mengulang kaji pelajaran dengan iPad," katanya.

Ditanya berkenaan perancangan masa hadapan, Puteri ingin merealisasikan impian untuk menjadi seorang doktor dan pada masa sama masih lagi bergiat aktif dengan aktiviti memanjat tembok.

"Saya menyimpan cita-cita untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan memanjat tembok bersaing dengan peserta dari luar negara sekali gus mengharumkan nama negara ke peringkat lebih tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 7:01 AM