ANTARA warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah apartmen di Brickfields, Kuala Lumpur, tengah malam tadi. FOTO Nurul HIdayah Bahaudin
ANTARA warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah apartmen di Brickfields, Kuala Lumpur, tengah malam tadi. FOTO Nurul HIdayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Ratusan warga asing yang tinggal 'selesa' di unit apartmen di Brickfields, di sini, dengan bayaran sewa lebih RM2,000 sebulan diserbu pihak berkuasa, tengah malam tadi.

Dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur jam 12.15 tengah malam itu, seramai 122 warga asing diperiksa.

Tinjauan Wartawan Harian Metro mendapati terdapat beberapa unit kediaman di enam blok apartmen itu dihuni warga asing.

Seorang lelaki warga asing dikenali sebagai Aley berkata, dia menetap di negara ini sejak 14 tahun lalu di beberapa lokasi.

"Di sini (apartmen) ini, saya duduk di kediaman ini yang mempunyai empat bilik bersama beberapa warga asing lain.

"Setiap bulan saya akan kutip sewa daripada setiap bilik bagi bayaran bulanan rumah sebanyak RM2,500," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, awal pagi hari ini.

Dalam operasi itu juga menyaksikan beberapa helah warga warga asing yang cuba melarikan diri termasuk bersembunyi dalam almari dan berpura-pura sakit selain menangis ketika ditahan.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi itu dijalankan hasil risikan pihaknya selama dua minggu.

"Kami menahan 40 warga asing terdiri daripada 24 lelaki, 25 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan berusia antara tiga hingga 61 tahun.

"Ia membabitkan 25 warga India, 10 warga Sri Lanka, masing-masing dua dari Pakistan dan Myanmar serta seorang warga Bangladesh.

"Kesemua warga asing yang ditahan didapati tidak memiliki pas atau permit untuk tinggal di Malaysia, pas tamat tempoh serta tinggal lebih masa," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 7:12 AM