ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori kontena di bulatan berdekatan Masjid Sultan Abdul Samad,KLIA. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah lori kontena di bulatan berdekatan Masjid Sultan Abdul Samad,KLIA. FOTO ihsan bomba
Samadi Ahmad


Putrajaya: Berpantang maut sebelum ajal. Itu detik ngeri dialami seorang penunggang motosikal yang nyaris maut apabila digilis dan tersepit di bawah tayar lori kontena,

Dalam kejadian jam 3 petang semalam, mangsa terbabit kemalangan di bulatan berhampiran Masjid Sultan Abdul Samad, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) KLIA berkata, kemalangan membabitkan dua wanita yang menunggang motosikal.

Menurutnya, JBPM menerima panggilan kecemasan pada jam 3.27 petang sebelum sebuah jentera dan pasukan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Setibanya di lokasi kami mendapati kemalangan membabitkan lori kontena dan dua wanita yang menunggang motosikal.

"Salah seorang mangsa terjatuh dan tersepit di bawah tayar lori kontena itu. Mangsa yang cedera pada kaki bagaimanapun berjaya dikeluarkan.

"Seorang lagi rakannya hanya mengalami kecederaan ringan. Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Cyberjaya menaiki EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 8:42 AM