ANANT  (kiri) dan Radhika  di hari perkahwinan mereka.
ANANT (kiri) dan Radhika di hari perkahwinan mereka.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


Mukesh Ambani adalah antara individu terkaya di dunia dan terkaya di India. Sejak beberapa bulan lalu dia sudah mula membelanjakan kekayaannya untuk meraikan hari bahagia anak lelakinya Anant Ambani yang akan mendirikan rumah tangga dengan Radhika Merchant.

Pada Mac lalu, upacara menjelang hari perkahwinan pasangan berkenaan dimulakan dengan majlis selama tiga hari termasuk jamuan untuk 50,000 orang di kampung halamannya di Jamnagar, negeri Gujarat.

Anant, 28, yang juga berkhidmat sebagai pengarah dalam lembaga pengarah beberapa firma milik Reliance, dijangka berkahwin dengan Merchant, 29.

Pada 2018, Ambani mengadakan perkahwinan paling mahal di India untuk anak perempuannya yang dilaporkan menelan belanja AS$100 juta (kira-kira RM473 juta) dan ia menyaksikan bintang pop terkenal Amerika Syarikat (AS), Beyonce, tampil membuat persembahan.

Tetamu dimanjakan dengan menaiki jet peribadi, menginap dalam kapal persiaran mewah serta menerima cenderahati eksklusif seperti rantai emas dan beg Louis Vuitton.

Walaupun kos sebenar majlis itu tidak didedahkan, namun ia dikhabarkan menelan belanja sehingga AS$150 juta.

Menurut laporan media, Rihanna dikhabarkan dibayar AS$7 juta (kira-kira RM32.8 juta) untuk persembahannya, manakala angka yang dicadangkan untuk Justin Bieber ialah AS$10 juta (kira-kira RM46.9 juta).

Dalam kemewahan acara berkenaan, timbul rasa kurang senang terhadap perbelanjaan serba mewah yang diperuntukkan bagi meraikan pasangan pengantin itu.

Malah, lebih menyuntik amarah orang awam apabila polis trafik Mumbai akan menyekat akses orang awam ke jalan raya menuju ke Pusat Konvensyen Dunia Jio antara 1 tengah hari hingga tengah malam dari 12 hingga 15 Julai.

Menurut laporan Bernama, banyak pihak meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kemewahan majlis itu, mempersoalkan bagaimana begitu banyak wang boleh dibelanjakan untuk satu perkahwinan di negara yang ratusan juta penduduknya bergantung kepada catuan kerajaan sebanyak lima kilogram bijirin sebulan.

Penulis dan kolumnis, Shobhaa De dalam temu bual dengan BBC berkata, orang India disifatkan menyukai kemegahan dan skala majlis perkahwinan ini adalah selaras dengan kekayaan Ambani.

Namun, katanya ramai yang mengkritik kemewahan dan kekayaan yang dipamerkan di negara yang berpuluh-puluh juta hidup di bawah paras kemiskinan dan di mana ketidaksamaan pendapatan adalah melampau.

Penulis dan pengulas Santosh Desai berkata, perkahwinan itu dengan mudah dilihat sebagai satu bentuk ejekan, semacam buta terhadap realiti dihadapi India.

Katanya, satu atau dua generasi yang lalu, kekayaan tidak ditayang tetapi, hari ini, kekayaan perlu dihebah hingga menjadikannya lebih luar biasa.

Walaupun ada suara kurang senang terhadap kemewahan majlis itu, namun dari sisi lain, ada pihak yang meraih rezeki daripada majlis seumpama ini.

Bagi industri perkahwinan India, majlis sebesar itu adalah peluang pemasaran menarik.

Ia adalah peluang terbaik untuk pereka mempamerkan sisi yang lebih halus untuk fesyen, hasil seni dan kerja pertukangan India, kata Anand Bhushan, seorang pereka fesyen.

Katanya, selebriti yang hadir akan menukar lima hingga enam pakaian pada setiap acara.

Ia juga menjadi contoh acara yang menggabungkan tradisi, kemodenan dan standard hospitaliti yang tiada tandingan.

Sama ada majlis itu dianggap membazir atau tidak, ia bergantung kepada siapa yang membelanjakan duit itu.

Bagi keluarga Ambani, membelanjakan AS$150 juta (kira-kira RM703 juta) untuk majlis perkahwinan bukanlah satu pembaziran, sebaliknya ia memadai dengan status kekayaan, kelompok rakan-rakan mereka dan jaringan perniagaannya.

Ini kerana Mukesh Ambani adalah lelaki terkaya di India dengan nilai kekayaan AS$110.4 bilion (kira-kira RM517 bilion).

Jika seseorang yang berpendapatan RM100,000 setahun, tetapi mahu berbelanja untuk majlis perkahwinan sehingga RM100,000, itu barulah membazir, tidak perlu dan tidak sepatutnya berlaku.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 8:00 AM