AB Rauf (tengah) bergambar bersama kanak-kanak yang berpakaian kebaya pada Pesta Kebaya dan Busana Klasik @ Melaka Heritage Festival malam tadi. FOTO Amir Mamat
AB Rauf (tengah) bergambar bersama kanak-kanak yang berpakaian kebaya pada Pesta Kebaya dan Busana Klasik @ Melaka Heritage Festival malam tadi. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


Melaka: Kerajaan negeri menyokong usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk mengiktiraf pakaian tradisional kebaya sebagai warisan tidak ketara di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata ini berikutan pakaian tradisional Malaysia itu layak menerima pengiktirafan berkenaan berikutan sejarah kewujudannya yang unik sejak zaman berzaman dan diamalkan sehingga kini.

Sehubungan itu, beliau berkata, penganjuran Pesta Kebaya dan Busana Klasik oleh kerajaan negeri mampu memberi semangat kepada Motac untuk terus memperjuangkan usaha mengangkat kebaya sebagai warisan tidak ketara.

"Busana kebaya adalah pakaian yang melambangkan warisan budaya dan identiti bagi orang Melayu dan peranakan seperti Cina, Baba Nyonya, Chetti, Siam dan Kristang serta masyarakat lain, bukan saja di Malaysia tetapi juga di negara yang masih aktif mengamalkan pemakaiannya di Asia Tenggara.

"Justeru, penganjuran pesta pakaian warisan itu secara tidak langsung menyokong inisiatif negara melalui MOTAC untuk mengangkat kebaya ke UNESCO di bawah `Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity'.

"Saya percaya, menerusi penganjuran pesta ini dapat meningkatkan nilai komersial busana kebaya sekali gus mengangkat martabat warisan budaya kita untuk diwarisi oleh generasi akan datang," katanya ketika merasmikan Pesta Kebaya dan Busana Klasik @ Melaka Heritage Festival sempena sambutan ulang tahun ke-16 Melaka Bandar Raya Warisan Dunia UNESCO di perkarangan bangunan Stadthuys Banda Hilir, di sini malam tadi.

Lebih 10,000 pengunjung dengan kebanyakannya berpakaian kebaya serta busana tradisional lain hadir memeriahkan pesta yang julung kali diadakan itu.

Turut hadir, Duta Besar Belanda ke Malayisa, Jacque War Nar; Exco Kanan negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman dan Presiden Persatuan Pelancongan Melaka, Madelina Kuah Mei Lee.

Cadangan untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai warisan tidak ketara Unesco itu dilaksanakan Motac sejak tahun lalu sebagai satu daripada usaha memanifestasi pakaian warisan itu ke peringkat dunia.

Empat negara lain yang turut berusaha untuk mengangkat kebaya dari negara masing-masing sebagai warisan tidak ketara itu adalah Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Ab Rauf berkata, keistimewaan yang ada pada kebaya sewajarnya diberi pengiktirafan kerana ciri-cirinya merangkumi elemen warisan kebudayaan tidak ketara membabitkan kemahiran tenunan tradisional seperti sulaman dan teknik jahitan untuk menghasilkan pakaian tradisional terbabit.

Sementara itu, beliau berkata, sambutan ulang tahun ke-16 Pengisytiharan Melaka Bandar Raya Warisan Dunia Unesco yang akan diadakan malam ini di Encore Melaka akan dihadiri oleh beberapa duta negara asing, penggiat industri pelancongan dari dalam dan luar negara.

"Antara pengisian sambutan yang pasti dinantikan adalah persembahan khas teater bertajuk Tuah - Sahmura Lagenda yang akan dibarisi pelakon seperti Remy Ishak, Zul Huzaimy serta Asyraf Muslim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 8:33 AM