MEGAT Zaharuddin (tiga dari kanan) bergambar bersama Kaymer dan Oosthuizen.
MEGAT Zaharuddin (tiga dari kanan) bergambar bersama Kaymer dan Oosthuizen.

Kuala Lumpur: Bekas juara, Louis Oosthuizen dan Martin Kaymer antara pemain profesional yang mengesahkan penyertaan mereka pada Kejohanan Golf Maybank Malaysia dari 18-21 Februari tahun depan.

Oosthuizen, juara edisi 2012, kini menduduki ranking ke-13 dunia manakala Kaymer, ke-26.

Pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor berkata penyertaan Oosthuizen dan Kaymer bersama pemain lain yang dianggap barisan terbaik Asia mampu melonjakkan status kejohanan itu.

“Kejohanan Maybank menandakan komitmen kami dalam menaikkan standard untuk golf profesional. Kami juga dari semasa ke semasa akan mengumumkan senarai pemain serta perkembangan terbaru kejohanan ini,” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Pada 2010, Oosthuizen dari Afrika Selatan menjuarai kejohanan Jelajah Eropah sulungnya - Open de Andalucia de Golf - serta kejuaraan utama pertamanya di Kejohanan Terbuka 2010 di St Andrews.

Oosthuizen mengutip kemenangan keempatnya dalam siri Jelajah Eropah apabila mempertahankan gelaran Terbuka Afrika pada 2012 dan beliau meneruskan rentak kemenangannya di Kejohanan Volvo 2013 dan 2014.

Kaymer, pemain dari Jerman, pernah beraksi di kejohanan ini pada 2011 sebagai pemain nombor satu dunia ketika itu serta juara Kejohanan PGA Amerika Syarikat 2010.

Beliau menjuarai Terbuka AS 2014 yang juga gelaran utama keduanya serta Kejohanan Players yang merupakan pertandingan perdana dalam Jelajah PGA.

Gelaran lain yang pernah dimilikinya adalah Kejohanan Dunia HSBC pada 2010 serta anggota skuad Piala Ryder Eropah yang muncul juara pada 2012 dan 2014.

Kejohanan Maybank Malaysia yang menawarkan hadiah AS$3 juta (kira-kira RM13.11 juta) menerima pengiktirafan Jelajah Eropah, Jelajah Asia, Jelajah Golf Profesional Malaysia dan Persatuan Pemain Golf Profesional Malaysia (PGAM). - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 November 2015 @ 10:00 AM