Aksi pemain Jabatan Penjara berdepan asakan pemain MBJB Red Panthera dalam saingan CSR. Foto Ihsan CSR
Aksi pemain Jabatan Penjara berdepan asakan pemain MBJB Red Panthera dalam saingan CSR. Foto Ihsan CSR

Shah Alam: Empat pasukan berpeluang mencipta kejutan dalam saingan Kejohanan Ragbi Super Korporat (CSR) selepas mengesahkan kemaraan ke pusingan 'wildcard'.

Pasukan terbabit PPTD Patriots dan TUDM Blackhawks bagi wakil kumpulan A manakala Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Red Panthera dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Knights dari kumpulan B turut melakar kejayaan layak ke pusingan kalah mati dalam penampilan sulung pada kejohanan itu.

Pada aksi perlawanan minggu lalu, PPTD Patriots melakar kemenangan mudah mengatasi TNB Rugby, 57-0 manakala TUDM Blackhawks mengatasi Bank Muamalat Bullets 57-12.

MBJB Red Panthera pula mengalahkan Pride Green 38-5, manakala MBSJ Knights tewas 70-18 kepada Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) Royal Town Warrriors untuk mengesahkan kedudukan tempat kedua dan ketiga dalam kumpulan.

Pengurus pasukan MBJB Red Panthera, Mohd Faizal Hassan menyifatkan status sebagai pasukan 'underdog' memberikan kelebihan buat wakil Selatan tanah air itu bagaimanapun mereka akan terus memastikan memberi saingan terbaik kepada setiap lawan ditemui nanti.

"Sasaran kita adalah sentiasa untuk menjadi lebih baik daripada perlawanan sebelumnya.

"Dengan kelayakan ke pusingan seterusnya, kita harapkan pemain dapat terus yakin dengan menggunakan pengalaman yang diperoleh sepanjang kejohanan ini." katanya.

Terdahulu, pemenang kedua-dua kumpulan, Bank Muamalat Bullets dan MBDK Royal Town Warriors mendapat sedikit kelebihan selepas menerima 'bye' ke pusingan separuh akhir.

Perlawanan pusingan 'wildcard' yang berlangsung di Padang Ragbi Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada 17 Februari ini menyaksikan MBJB Red Panthera menentang TUDM Blackhawks, manakala PPTD Patriots bertemu MBSJ Knights bagi menempah dua lagi slot ke perlawanan separuh akhir.

Jadual Perlawanan CSR

Pusingan 'wildcard' pada 17 Februari 2024

MBJB Red Panthera v TUDM Blackhawks (2.45 ptg)

PPTD Patriots v MBSJ Knights (4.30 ptg)

*Aksi berlangsung di Padang Ragbi Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 2:03 PM