Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menafikan proses pelaksanaan perolehan kapal tempur pesisir (LCS) berada pada tahap yang rendah sebagaimana yang dilaporkan Jabatan Audit Negara.

Mohamed Khaled berkata, laporan audit bukan merujuk kepada hasil tahun ini atau tahun lalu, sebaliknya beberapa tahun yang lalu membabitkan kapal yang tidak siap.

Katanya, sebaik Kerajaan Perpaduan mengambil alih tampuk kepimpinan, mereka tetap meneruskan pembinaan kapal LCS.

"Kapal yang pertama sudah pun diuji dan ini sangat penting serta signifikan disebabkan kita mahu menguji sama ada reka bentuk kapal ini betul atau sebaliknya.

"Jika kapal ini sudah direka bentuk serta diuji dan tidak mengalami masalah, kita akan melakukan kerja-kerja memasang semua peralatan di dalam kapal ini sehingga akhir tahun ini.

"Kita menjangkakan kapal pertama akan siap pada tahun 2026 dan kini proses pembinaan kapal LCS berjalan lancar mengikut jadual," katanya sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Machang 2024 di sini, malam tadi.

Media sebelum ini melaporkan, semakan audit mendapati prestasi perolehan dan penerimaan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sehingga 31 Disember 2022 adalah rendah berbanding sasaran 18 kapal ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Jumlah perolehan itu jauh lebih rendah berikutan hanya empat kapal diterima atau 22.2 peratus dengan sembilan lagi dalam proses pelaksanaan perolehan daripada keseluruhan enam kapal LCS, 10 kapal misi pesisir (LMS) dan dua kapal sokongan pelbagai guna (MRSS).

Dalam perkembangan sama, Mohamed Khaled berkata, negara kini baharu sahaja melakukan perolehan tiga kapal LMS daripada Turkey membabitkan penghantaran pada bulan Oktober, November, dan Disember 2027.

"Kini kita sudah ada lima LCS, tiga LMS, dan akan memperoleh kapal lain dari semasa ke semasa di samping kapal sedia ada yang masih boleh dipakai," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan sudah menyelesaikan isu peruntukan dan akan memastikan pembinaan kapal itu berjalan dengan baik.

"Sekiranya kita gagal untuk menyiapkan atau membuat perolehan ke atas kapal-kapal baharu ia akan menjejaskan lagi kesiapsiagaan kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 9:06 AM