Foto hiasan.
Foto hiasan.
Oleh Skuad Khas Harian Metro


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menjalankan risikan dan tangkapan ke atas beberapa anggota penguat kuasa berkaitan kewujudan kegiatan pelacuran, rumah urut haram dan penjudian di beberapa lokasi di ibu kota, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kewujudan premis pelacuran dan perjudian haram memberikan petunjuk bahawa wujudnya kegiatan melindungi pusat itu oleh agensi-agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab.

"Malah, risikan yang dibuat SPRM ke atas beberapa anggota penguat kuasa baru-baru ini menunjukkan bahawa ia mendapat perlindungan penguat kuasa yang terlibat," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa isu ini tidak pernah selesai walaupun seberapa banyak serbuan dan tangkapan dilakukan oleh pihak berkuasa yang bertanggungjawab berikutan ada segelintir anggota penguat kuasa yang dipercayai menerima sogokan sebagai balasan untuk melindungi premis-premis itu.

"SPRM akan terus menjalankan risikan dan tangkapan ke atas mana-mana pegawai agensi penguatkuasaan yang terbabit," katanya.

Beberapa operasi risikan khas SPRM seperti Op Relax dan Op Jejak yang dijalankan sejak 2019 secara undercover berjaya membawa tangkapan dan pertuduhan ke atas anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi kerana melindungi kegiatan rumah urut tanpa lesen yang menjalankan aktiviti pelacuran.

Terdahulu, isu terbabit turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang percaya wujudnya elemen rasuah berkaitan isu lubuk pelacuran di ibu negara yang masih tidak selesai sejak sekian lama.

Dalam isu pelacuran di Kuala Lumpur, beliau meyakini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melakukan siasatan membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan oleh Skuad Khas Harian Metro mengenai isu lubuk kegiatan pelacuran di ibu negara yang sudah berdekad lamanya wujud dan tidak selesai dihapuskan sedangkan Indonesia berjaya menutup Dolly iaitu pusat persundalan terbesar Asia Tenggara terletak di Surabaya.

Harian Metro pada 22 Jun lalu menerusi laporan ekslusif bertajuk 'Hanyir Lubuk Dosa' mendedahkan lubuk kegiatan pelacuran tertua sekitar Pudu, Kuala Lumpur termasuk pelacur yang bersepah mencari pelanggan di sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong diserbu.

Polis menyerbu medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong serta menahan 27 individu termasuk pelayan pelanggan (GRO) dan pelacur.

Serbuan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu hasil pendedahan eksklusif Harian Metro sebelumnya berkaitan kegiatan medan selera menawarkan khidmat seks serendah RM100.

Susulannya itu, pada 27 Jun lalu polis mendedahkan mengenal pasti empat lokasi yang dijadikan sarang pelacuran di sekitar ibu kota yang menawarkan khidmat seks dengan harga murah kepada pelanggan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, antara lokasi yang dikesan itu ialah Jalan Petaling, Jalan Gelang, Jalan Pudu dan Hotel Richmoore.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 7:01 AM