BARISAN pemain England. FOTO Agensi
BARISAN pemain England. FOTO Agensi
Agensi

London: Durian runtuh bakal menanti pemain England dan Sepanyol jika masing-masing mampu membawa pulang kejuaraan Euro 2024 apabila kedua-dua pasukan dijadual bertembung di pentas final edisi kali ini.

Begitupun, England dijanjikan bonus lebih lumayan berbanding Sepanyol bagi menyuntik motivasi pemain menejlang aksi kemuncak itu nanti.

Difahamkan, barisan pemain La Roja akan meraih bonus RM1.8 juta setiap seorang jika mampu membenam England.

Ia dijanjikan oleh Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF) selepas perbincangan bersama pemain dilakukan dengan RFEF bakal membawa pulang RM145 juta daripada Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) sekiranya Sepanyol memenangi kejohanan itu.

Wang kemenangan itu akan diagihkan dengan membabitkan 40 peratus diberikan kepada pemain dan pegawai pasukan itu.

Bagaimanapun, nilai berkenaan lebih rendah berbanding bonus yang diraih pemain dan pegawai pasukan England.

Pemain England dijangka menerima bonus yang lebih besar dengan masing-masing meraih RM2.2 juta sekali gus menjuarai Euro buat pertama kali dalam sejarah negara itu.

Malah pengendali England, Gareth Southgate akan menerima bonus lebih lumayan, RM24 juta iaitu lebih 10 kali ganda berbanding bonus yang bakal diterima jurulatih Sepanyol, De La Fuente.

Menjelang aksi final itu, England dianggap pilihan utama menewaskan Sepanyol namun rekod bersih anak didik La Fuente sepanjang kempen Euro ini dilihat kelebihan buat mereka mengejutkan Three Lions.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 8:35 AM