PENGENDALI Uruguay, Marcelo Bielsa. FOTO Agensi
PENGENDALI Uruguay, Marcelo Bielsa. FOTO Agensi
Reuters

Amerika Syarikat: Pengendali Uruguay, Marcelo Bielsa mempertahankan tindakan pemainnya yang terbabit dalam insiden pergaduhan dengan penyokong Colombia selepas separuh akhir Copa America, Rabu lalu.

Katanya, sesiapa sahaja akan bertindak seperti itu untuk melindungi keluarga mereka dicemuh oleh individu tidak bertanggungjawab.

Dalam aksi itu, Colombia menang menerusi keputusan 1-0 dan sebaik perlawanan berakhir pemain Uruguay pergi ke arah tempat duduk penonton sebelum berlakunya insiden pukul memukul.

Pemain Uruguay mendakwa ahli keluarga pemain 'diserang' oleh penyokong Colombia di tempat duduk penonton.

Bielsa berang selepas badan induk bola sepak Amerika Selatan CONMEBOL yang menganjurkan Copa Amerika mahu membuka siasatan ke atas Uruguay dan mengkritiknya kerana gagal melindungi keluarga.

"Anda tahu tanggungjawab siapa untuk melindungi penyokong di tempat penonton. Anda perlu bertanya kepada saya sama ada pemain menerima permohonan maaf daripada mereka yang bertanggungjawab menjaga keselamatan.

"Pemain bertindak balas seperti mana manusia lain akan lakukan. Tindak balas itu selepas isteri, ibu atau bayi mereka diserang oleh orang luar," katanya yang berasal dari Argentina.

Ujarnya lagi, beliau sendiri tidak mahu ia berlaku namun sebagai pemain sudah tentunya mereka perlu mempertahankan maruah keluarga.

"Apa yang harus mereka lakukan?... Tiada siapa yang mahu melihat reaksi ganas, tetapi anda perlu melihat apa reaksi sebagai tindak balas," kata bekas jurulatih Leeds United itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 7:37 AM