PEMAIN Argentina ketika meraikan kemenangan ke atas Kanada di separuh akhir Copa Amerika 2024. FOTO Agensi
PEMAIN Argentina ketika meraikan kemenangan ke atas Kanada di separuh akhir Copa Amerika 2024. FOTO Agensi
AFP

Miami: Argentina dilandasan tepat untuk melakar 'hatrik' menjuarai kejohanan utama di peringkat antarabangsa jika berjaya memenangi Copa Amerika apabila dijadual menentang Colombia di pentas final.

Lionel Messi yang memacu kejayaan Argentina dalam dua kejohanan utama iaitu menjuarai Copa Amerika 2021 dan Piala Dunia 2022, berpeluang melakukan perkara sama untuk memenangi gelaran ketiga.

Sepanyol satu-satunya pasukan di dunia yang memenangi Piala Dunia 2010 dengan dua kejuaraan Euro turut dimenangi pada 2008 dan 2012.

Gelaran Copa America juga akan memberikan kejuaraan ke-16 buat 'Albiceleste' di mana mereka ketika ini terikat dengan Uruguay yang turut menghimpun 15 gelaran.

Namun Colombia juga menuju ke final di Stadium Hard Rock dengan rekod tanpa kalah dalam 28 perlawanan selain mengharungi perjalanan yang sukar untuk ke final.

Argentina yang ketika ini menghuni ranking nombor satu dunia jelas pasukan pilihan namun tidak ramai yang menjangkakan aksi akan berlangsung secara berat sebelah.

"Scaloni tahu tentang semua pemainnya. Argentina pada hari ini memiliki solidariti yang kuat selain kehadiran pemain terbaik sebagai bonus untuk mereka.

"Sebab itulah mereka adalah pilihan utama," kata bekas penyerang Chile dan Inter Milan, Ivan Zamorano.

Namun bekas pemain tengah Colombia, Carlos Valderrama percaya pasukan itu mampu mencipta kejutan.

"Saya dapat lihat yang Colombia akan menang pada final nanti. Kita ada pasukan hebat yang boleh merealisasikan impian ini. Saya sentiasa optimis dengan Colombia berdasarkan keputusan dan cara mereka bermain.

"Pasukan ini belum lagi tewas, beraksi dengan baik di Copa America dan ada James (Rodriguez) sebagai pemain terbaik Copa America. Jadi kami boleh bermimpi mengenai kejuaraan kerana kami ada pasukan yang hebat," kata Valderrama.

Ada juga faktor emosi mengiringi aksi final ini memandangkan ia turut menjadi aksi perpisahan buat Angel di Maria bersama Argentina.

"Saya tidak bersedia untuk perlawanan terakhir bersama Argentina tetapi sudah tiba masanya.

"Walau apapun yang terjadi, saya boleh pergi pada detik yang tertinggi. Saya sudah lakukan segalanya untuk meninggalkan pasukan ini (dengan keadaan baik)," kata Di Maria.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Julai 2024 @ 8:06 AM