HANNAH akui permintaan atlet itu mestilah wajar untuk bantu prestasi, FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
HANNAH akui permintaan atlet itu mestilah wajar untuk bantu prestasi, FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Zulkarnain Azman


Putrajaya: Tidak semua permintaan atlet yang di bawah program Road To Gold (RTG) terutamanya yang bergerak secara profesional akan ditunaikan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, RTG hanyalah bertujuan untuk menambah baik sistem sokongan atlet bagi meningkatkan lagi prestasi semasa mereka ketika ini dalam misi mengejar emas olimpik pertama Malaysia.

Justeru katanya, setiap permohonan yang dibuat atlet di bawah program itu akan diteliti oleh jawatankuasa RTG sebelum diluluskan memandangkan dana yang akan digunakan itu membabitkan duit rakyat.

"Saya mengulangi Jawatankuasa RTG adalah untuk tambah nilai fasiliti kepada atlet dan bukannya semua permintaan atlet kita akan pertimbangkan.

"Sebagai contoh kalau mereka nak rumah lebih besar, takkan kita nak beli rumah lebih besar. Jadi permintaan atlet itu mestilah wajar untuk bantu prestasi mereka.

"Mereka tak boleh datang mohon untuk perkara yang asas sebab itu tugas atlet sendiri terutamanya kepada atlet yang bergerak secara profesional. Bila mereka jadi atlet profesional ini kos yang mereka perlu tanggung sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman syarat-syarat permohonan dana geran padanan kepada penggiat industri sukan dalam masa terdekat.

Terdahulu, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, jawatankuasa RTG akan mempertimbangkan untuk menanggung perbelanjaan membabitkan pemain badminton profesional negara yang berada di bawah program berkenaan.

Katanya, ia termasuklah permintaan membabitkan kos pembiayaan untuk mereka menyertai kejohanan di luar negara dalam misi melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Dalam pada itu Hannah berkata, pihaknya akan memberikan talian hayat buat atlet RTG yang sudah terkeluar daripada kedudukan 10 terbaik dunia dalam sukan mereka ketika ini.

Jelas beliau, sepanjang sesi kelayakan Olimpik Paris, ia satu perkara biasa untuk melihat perubahan kedudukan ranking atlet yang terlibat disebabkan atas beberapa faktor seperti kecederaan.

Bagaimanapun katanya, prestasi atlet di bawah program iti akan tetap dipantau secara berkala dana perkara itu akan akan dibawa ke jawatankuasa RTG untuk dibincangkan sebelum tindakan selanjutnya dibuat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Jun 2023 @ 4:25 PM