HANNAH (kanan) berkata atlet-atlet yang menyertai program RTG dipilih berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan sebelum ini. FOTO Bernama
HANNAH (kanan) berkata atlet-atlet yang menyertai program RTG dipilih berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan sebelum ini. FOTO Bernama
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Seperti dijangka sukan badminton mendominasi senarai projek 'Road to Gold' (RTG) ke Paris 2024 apabila 11 dari 15 atletnya terpilih menyertai program itu.

Antara atlet yang tersenarai dalam program RTG ialah pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia; dua gandingan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yii; beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah dan dua beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing serta Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Selain pemain badminton, antara atlet yang menyertai senarai berkenaan ialah pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (basikal trek), Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri (terjun).

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh ketika mengumumkan senarai berkenaan berkata, atlet-atlet yang menyertai program RTG dipilih berdasarkan beberapa kriteria yang ditetapkan sebelum ini.

Kata Hannah, berdasarkan senarai yang dikeluarkan itu, pihaknya tidak menolak mungkin bilangan atlet sedia ada akan berubah berdasarkan prestasi semasa atlet apabila kejohanan kelayakan ke Olimpik Paris 2024 bermula.''

"Dua kriteria pemilihan (atlet RTG) iaitu satu (atlet) pemenang pingat di temasya olimpik Tokyo 2020 dan kedua tersenarai dalam ranking top 10 di dunia.

"Kita juga ada kriteria tambahan yang mana atlet podium sedia ada yang menunjukkan peningkatan yang sangat-sangat baik yang itu wajar dipertimbangkan case by case untuk masukkan atlet itu dalam projek RTG.

"Senarai ini dijangka akan berubah apabila kejohanan kelayakan ke Paris bermula dan tertakluk kepada persetujuan RTG dan reviu serta pemantauan berkala. Setiap permainan ada tempoh kelayakan yang berbeza, jadi sebab itu kita kena tengok sukan berkenaan," katanya pada majlis pengumuman senarai Atlet RTG di Menara KBS hari ini.

Dalam pada itu Hannah berkata, pihaknya masih belum dapat menganggarkan bajet keseluruhan bagi projek RTG memandangkan jawatankuasa masih belum mengadakan pertemuan dua mata untuk membincangkan keperluan mereka.

Menurut Hannah, segala kos perbelanjaan Program RTG hanya akan diketahui selepas pertemuan bersama atlet dilakukan dan dikemaskini serta dipersetujui oleh jawatankuasa RTG.

"Kenapa kita tidak boleh bagitahu sekarang adalah kita kena kira kos perbelanjaan terlebih dahulu untuk keperluan atlet. Sebagai contoh atlet itu meminta sokongan dari segi jurulatih atau dari rawatan kecederaan.

"Penyelaras beserta Datuk Nicol David, Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Mimawan Nawawi akan memulakan pertemuan bersama atlet RTG dan jurulatih dalam masa sebulan untuk mendengar keperluan top-up yang diperlukan oleh mereka dan mendapatkan persetujuan serta komitmen mereka untuk mengikuti program RTG ini,"ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 1:35 PM