FADHIL (kanan) pelumba sedang meningkat naik. FOTO Agensi
FADHIL (kanan) pelumba sedang meningkat naik. FOTO Agensi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memohon kepada jawatankuasa program Road to Gold (RTG) untuk menimbang menyenaraikan seorang lagi pelumba mereka, Fadhil Zonis ke dalam program berkenaan yang dikhususkan memburu emas sulung Olimpik di Paris tahun depan.

Menurut Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh mereka berhasrat untuk memasukkan Fadhil ke dalam program itu sebagai pelan sokongan seandainya sebarang kejadian tidak diingini berlaku ketika dalam usaha Malaysia meraih pingat di temasya sukan terbesar dunia itu tahun depan.

"Kita ucapkan terima kepada Jawatankuasa RTG yang menamakan dua atlet kita, Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom, ini adalah tepat, mereka wajib berada dalam program ini kerana mereka berpeluang untuk dapatkan pingat di Sukan Olimpik," katanya.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh merangkap Pengerusi bersama Jawatankuasa RTG mengumumkan 15 orang atlet awal yang dikenal pasti sebagai prospek pingat emas negara di Paris 2024, dengan hanya dua orang atlet sahaja dari sukan berbasikal trek disenaraikan iaitu pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo, Azizulhasni dan Shah Firdaus.

Hasrat PKBM itu bersandarkan pada kejadian Mac lalu apabila Azizulhasni terpaksa menarik diri pada saat akhir Kejohanan Piala Negara-Negara di Kaherah, Mesir kerana ditimpa kecederaan ketika sesi latihan.

"Bagaimanapun kami membuat permintaan kepada pihak RTG untuk memasukkan nama Fadhil ke dalam program RTG ini, kerana dia adalah atlet sokongan kami, sekiranya ada pelumba yang mengalami kecederaan, jadi kami sudah ada pengganti. Saya rasa amat penting Fadhil berada dalam program itu.

"Walaupun 15 nama awal diumumkan, saya difahamkan seperti dimaklumkan Hannah, senarai ini masih belum dimuktamad dan nama-nama yang lain boleh ditambah kemudian.

"Kita akan membuat pembentangan sekali lagi kepada pihak kementerian dan Jawatankuasa RTG untuk menamakan Fadhil ke dalam program ini, kerana ia juga hasrat ketua jurulatih, John Beasley untuk mempunyai tiga atlet terbaik dalam program RTG," kata Amarjit.

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan perancangan untuk membawa masuk Fadhil ke dalam program itu juga adalah bertujuan untuk menguatkan lagi skuad pecut berpasukan yang sedang berusaha untuk layak ke Paris 2024.

Ketika ini, skuad pecut berpasukan negara menghuni tangga ke 12 dunia dalam ranking Olimpik Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), dengan hanya lapan pasukan terbaik sahaja akan layak ke temasya itu.

Pusingan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris pula dijangka akan tamat pada April tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2023 @ 3:41 PM