HANNAH (kiri) bersama penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam ketika sidang akhbar di Majlis Sukan Negara. -FOTO Amirudin Sahib
HANNAH (kiri) bersama penyelaras RTG, Datuk Stuart Ramalingam ketika sidang akhbar di Majlis Sukan Negara. -FOTO Amirudin Sahib
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Dua Beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai serta pasukan hoki lelaki negara antara yang disingkirkan dari senarai atlet Road To Gold (RTG) Olimpik Paris 2024.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keputusan itu di ambil selepas mengambil kira prestasi yang ditunjukkan dalam beberapa kejohanan yang terakhir.

"Keputusan dibuat selepas jawatankuasa RTG membuat pertimbangan secara terperinci.

"Prestasi Kian Meng-Pei Jing jatuh ke kedudukan 23 manakala Soon Huat-Shevon jatuh ke posisi ke-17 sejak kelayakan Olimpik bermula Mei lalu," katanya selepas mesyuarat jawatankuasa RTG kali ketiga, hari ini.

Namun begitu, beregu campuran negara dan pasukan hoki yang disingkirkan itu mempunyai peluang untuk dipertimbangkan berada semula dalam program RTG sekiranya mereka mempamerkan peningkatan prestasi dan berjaya layak ke Olimpik Paris 2024.

Selain itu, atlet angkat berat negara, Aniq Kasdan dimasukkan ke dalam program RTG untuk persediaan Olimpik akan datang.

Tambah Hannah, untuk sukan skuasy, jawatankuasa RTG akan berbincang lebih lanjut untuk melihat jenis bantuan yang boleh diberikan selepas sukan itu akan dipertandingkan di Olimpik Los Angeles 2028 nanti.

Pada masa sama, atlet yang dikekalkan dalam program RTG adalah Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M Thinaah,Toh Ee Wei- Chen Tang Jie, Ng Tze Yong, Lee Zii Jia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (badminton), Datuk Azizulhasni Awang, Shah Firdaus Sahrom (berbasikal), Datuk Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri (terjun) dan Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2023 @ 5:51 PM