AZIZULHASNI (kanan) ketika beraksi dalam acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Velodrom Nasional. FOTO AZRUL EDHAM
AZIZULHASNI (kanan) ketika beraksi dalam acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Velodrom Nasional. FOTO AZRUL EDHAM
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Segala permintaan yang dikemukakan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sebelum ini diluluskan oleh Jawatankuasa Road To Gold (RTG).

Perkembangan itu disahkan Koordinator Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam yang menjelaskan permohonan yang dibuat pelumba yang mendapat julukan The Pocket Rocketman itu ditunaikan untuk memastikan atlet itu mendapat segala apa yang diperlukan bagi berada di prestasi terbaik menjelang Olimpik Paris 2024.

"Kita komited terhadap permintaan Azizulhasni bagi memastikan pasukannya mendapat sokongan yang diperlukan.

"(Bukan berlatih di Melbourne) tetapi lebih kepada permintaan domestik..untuk kekal di Malaysia," kata Stuart pada sidang media Mesyuarat RTG di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Terdahulu, Azizulhasni yang mesra disapa Jijoe ini melahirkan rasa kecewa terhadap Majlis Sukan Negara (MSN) atas kegagalan menyediakan sistem sokongan lengkap, selepas memindahkan pangkalan latihannya dari Melbourne, Australia ke Velodrom Nasional di Nilai, sejak awal tahun ini.

Dalam perkembangan sama, Stuart turut mengesahkan skuad hoki lelaki kebangsaan menjadi 'ahli keluarga' terbaharu RTG sebagai persiapan mengharungi Sukan Asia 2023.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan bajet RM6.9 juta diluluskan bagi proram RTG dan amaun itu dilihat mencukupi untuk menanggung atlet sedia ada.

"Dana ini cukup untuk kelompok atlet ketika ini tetapi kita harus tahu bahawa proses kelayakan masih berjalan. Jadi jika ada penambahan atlet, dana itu juga akan bertambah kerana permiintaan turut bertambah. Buat masa ini, ia memadai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 3:51 PM