MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. FOTO BERNAMA
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh. FOTO BERNAMA
Zulkarnain Azman


Puchong: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, setiap atlet dalam program Road To Gold (RTG) akan mendapat peruntukan berbeza mengikut keperluan masing-masing.

Bagaimanapun, Hannah menjelaskan, ia tidak bermakna atlet yang mendapat peruntukan tinggi itu adalah anak emas memandangkan setiap sukan mempunyai kelengkapan dan keperluan berbeza.

"Setiap sukan itu ekosistem dan peralatan mereka berbeza. Jadi saya tak boleh menilai kata Azizul (jaguh berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang) kita belanja lebih sebab kita sayang dia lebih.

"(Datuk) Pandelela (Rinong) kurang, kerana dia tidak memerlukan peralatan sukan kerana dia tidak ada basikal, dia penerjun, badminton pukla memerlukan raket .

"Jadi setiap sukan itu mempunyai nilai yang berbeza. Kita tak boleh cakap kita sayang atlet berbasikal dan tidak sayang penerjun.

"Apa yang kita bantu adalah servis asas dan perkhidmatan tambahan untuk pastikan mereka lengkap sebelum ke Sukan Olimpik Paris 2024, tahun hadapan. Untuk pecahan (peruntukan) saya tidak ada maklumat hari ini boleh rujuk kepada koordinator," katanya kepada media ketika ditemui pada majlis pelancaran garis panduan pembangunan sukan elektronik kebangsaan, di sini, hari ini.

Semalam, Hannah mengumumkan peruntukan berjumlah RM6.9 juta untuk disalurkan bagi memenuhi segala permintaan atlet RTG pada mesyuarat kedua jawatankuasa program itu.

Menurutnya, mesyuarat turut meluluskan elaun khas RM3,000 sebulan kepada setiap atlet di bawah program itu yang dibentuk sebagai persiapan atlet untuk meraih emas sulung negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 5:23 PM