AKSI pelumba Ducati dari Itali,  Andrea Dovizioso (kiri) mengejar  Marquez di Litar Jerez. FOTOAFP
AKSI pelumba Ducati dari Itali, Andrea Dovizioso (kiri) mengejar Marquez di Litar Jerez. FOTOAFP
Agensi

PENGURUS pasukan Repsol Honda, Alberto Puig berkata, juara MotoGP, Marc Marquez tidak perlu berasa kesal selepas mengalami kecederaan di Grand Prix Sepanyol kelmarin.

Menurut Puig, kelebihannya ke atas pencabar lain tetap sukar digugat dari setahun ke setahun.

Dalam memburu gelaran perdana ketujuhnya, Marquez mendahului pencabar lain pada peringkat awal perlumbaan di Jerez dan hampir terjatuh selepas terkeluar daripada trek namun berjaya mengawal motosikalnya.

"Strategi kami melakukan permulaan dengan baik apabila lampu isyarat dinyalakan dan berusaha mengetuai perlumbaan sejak awal. Inilah yang berlaku sehingga jentera Marc terlajak keluar daripada trek pada awal perlumbaan," kata Puig.

"Marc memerlukan dua pusingan untuk mengembalikan semula konsentrasinya dan kami melihat dia mula mengampiri barisan pelumba di depan. Jika ada empat atau lima lagi pusingan dia mungkin boleh memintas Quartararo (pemenang perlumbaan) kerana Marc pelumba kedua terpantas di selekoh.

MARQUEZ alami kecederaan tangan kanan. FOTO Agensi
MARQUEZ alami kecederaan tangan kanan. FOTO Agensi

"Kami tahu kemampuan pelumba yang kami ada. Hari ini, sekali lagi dia menunjukkan siapa dia di hadapan semua orang."

Selepas kehilangan 10 saat, Marquez masih mampu merampas kedudukan ketiga daripada tempat ke-19 di belakang Maverick Vinales sehinggalah terbabit nahas di Turn 3 pada peringkat akhir grand prix.

Kekecewaan bertukar tragedi apabila tangan kanannya patah yang memaksanya menjalani pembedahan hari ini.

"Dia tidak bernasib baik. Dia perlu berehat untuk memulihkan kembali tangannya dan apabila pulih dia pasti kembali untuk memburu kejayaan," kata Puig. "Ia berlaku apabila anda adalah Marc Márquez, dia melakukan perkara hebat. Tiada apa perlu dikesalkan, hanya menunjukkan sekali lagi pasukan kami mengagumi dan sanjung apa yang dilakukannya."

Kecederaan itu bermakna Marquez tidak dapat menyertai perlumbaan kedua di Jerez hujung minggu ini, bermakna dia bakal kehilangan 50 mata dalam musim perlumbaan yang telah pun dipendekkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 12:17 PM