MARQUEZ mahu padam kekecewaan di Austin, Texas. — FOTO Agensi
MARQUEZ mahu padam kekecewaan di Austin, Texas. — FOTO Agensi
AFP

JUARA dunia Marc Marquez berharap usahanya mempertahankan kejuaraan kembali ke landasan betul apabila perlumbaan ke-300 MotoGP berlangsung hujung minggu ini.

Insiden Marquez terjatuh dan terkeluar di Litar Americas bulan lalu bermakna penunggang Honda itu tidak meraih sebarang mata dan kini ketinggalan di belakang pelumba Ducati, Andrea Dovizioso, pendahulu kejuaraan dunia dengan sembilan mata selepas tiga pusingan.

“Jerez sering kali satu perlumbaan istimewa kerana ia yang pertama di Eropah dan banyak sokongan daripada peminat Sepanyol,” kata Marquez menjelang Grand Prix Sepanyol, hari ini.

“Sudah tentu kami mengambil pendekatan sama seperti hujung minggu lain, kami mesti menggunakan sebaik mungkin setiap detik di litar kerana kejuaraan semakin sengit.

MARQUEZ (kiri) bersama pelumba lain pada sidang akhbar di Jerez, semalam. — FOTO EPA
MARQUEZ (kiri) bersama pelumba lain pada sidang akhbar di Jerez, semalam. — FOTO EPA

“Tempoh masa antara Amerika dan di sini bagaikan lebih lama daripada biasa dan saya tidak sabar untuk kembali menunggang jentera saya.”

Rakan senegara dan sepasukan Honda dari Sepanyol, Jorge Lorenzo turut mahu mengulangi sejarah silam di Litar Jerez, yang mana dia menang lima kali dan berharap tampil berjaya kali ini selepas pulih daripada kecederaan.

“Saya memberikan tumpuan terhadap perlumbaan ini sejak awal musim lagi,” kata Lorenzo.

“Jerez satu daripada litar kegemaran saya. Biasanya permukaan litar ini mempunyai cengkaman yang bagus dan ia sesuai dengan gaya saya tidak seperti beberapa litar yang kami kunjungi sebelum ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 12:58 PM