FIRDAUS Wong. FOTO Arkib NSTP
FIRDAUS Wong. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri dan Raja Noraina Raja Rahim

Petaling Jaya: Bilangan mualaf di Malaysia semakin bertambah terutama daripada golongan muda dan perkembangan positif ini perlu dipastikan berterusan serta tidak terhenti.

Pengasas kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Multiracial Reverted Muslim (MRM) dan pendakwah, Firdaus Wong berkata, media sosial dilihat menjadi faktor utama ramai golongan muda tampil memeluk agama Islam.

Katanya, walaupun mualaf muda yang masuk Islam berumur awal 20-an, namun minat mereka ini sudah ada sejak di bangku sekolah lagi kerana terdedah terhadap Islam sejak kecil.

"Ramai yang beranggapan golongan muda yang menunjukkan minat mendalami agama Islam disebabkan pergaulan di peringkat sekolah kebangsaan.

"Walhal, 'curiosity' (sifat ingin tahu) itu sudah ada sejak mereka kecil lagi. Lagi banyak orang bercakap buruk mengenai Islam, lagi bertambah sifat ingin tahu mereka ini terhadap Islam.

"Malah, penyumbang paling besar mengapa golongan muda ini tertarik ingin tahu mengenai Islam adalah disebabkan media sosial.

"Disebabkan itu kami aktif di media sosial dan berdakwah dalam pelbagai bahasa," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, sebenarnya ramai golongan muda yang berkunjung ke MRM terdiri daripada remaja berumur 18 ke 20 tahun, bahkan pihaknya menerima banyak mesej di media sosial bertanyakan mengenai Islam.

Menurutnya, setiap persoalan akan dijawab dan diselesaikan kerana golongan ini mempunyai pandangan mereka tersendiri yang memerlukan pendekatan berbeza perlu digunakan.

"Pendekatan untuk golongan muda berbeza berbanding jika lingkungan usia 50 ke 60 tahun, mereka ini lebih intelektual, umur 30 ke 40-an emosi lebih stabil dan cara pembawaan berbeza.

"Bagi yang muda pula, mereka lebih 'enjoy' dan kita raikan fitrah mereka dengan pendekatan lebih santai tetapi sampai," katanya yang setiap hari menerima pertanyaan daripada golongan muda berkaitan Islam.

Firdaus Wong berkata, dengan adanya media sosial pihaknya tidak perlu pergi rumah ke rumah untuk berdakwah kerana semuanya kini di hujung jari.

Selain itu, katanya faktor lain yang menyumbang kepada ramai golongan muda tertarik mendalami Islam adalah kerana sikap ibu bapa mereka yang terlalu Islamofobia dan 'Melayufobia' membuatkan anak-anak mereka ingin tahu lebih dalam.

"Di media sosial semuanya ada, golongan muda ini boleh membuat penilaian dan kami di MRM memang setiap hari akan menyantuni mereka yang bertanya.

"Kami akan membantu mereka ini kerana ada juga mualaf muda yang dibuang keluarga dan ada kes ibu bapa membuat laporan polis sebab anak mereka memeluk Islam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 12:16 PM