QUARTARARO bertindak cemerlang meraih petak utama GP Sepanyol di Jerez dua minggu lalu. — FOTO AFP
QUARTARARO bertindak cemerlang meraih petak utama GP Sepanyol di Jerez dua minggu lalu. — FOTO AFP
AFP

DALAM perlumbaan kelimanya bagi MotoGP, Fabio Quartararo yang berusia 20 tahun akan menjadi tumpuan hujung minggu ini bagi perlumbaan di Le Mans di negara kelahirannya Perancis.

Dua minggu lalu di Jerez, pelumba rookie dari Nice itu muncul penunggang termuda untuk merampas petak utama perlumbaan Grand Prix, memecah rekod dilakar pada 2013 oleh pelumba dominan Marc Marquez.

Marquez masih memenangi perlumbaan itu, ketika Quartararo terkeluar kerana masalah mekanikal dengan jentera Yamaha, namun kian bersemangat susulan prestasi baik pada pusingan kelayakan dan ujian selepas perlumbaan.

“Kami hanya boleh melihat rumusan positif daripada GP Sepanyol. Kami menang petak utama,” katanya kepada laman web Yamaha SRT.

MARQUEZ melayan soalan wartawan pada sidang media di Le Mans, semalam. — FOTO AFP
MARQUEZ melayan soalan wartawan pada sidang media di Le Mans, semalam. — FOTO AFP

“Kami berjuang untuk merebut podium dan pada Isnin, kami melakukan catatan terpantas ketika ujian yang mana kami mencuba banyak perkara baharu bagi perlumbaan akan datang.”

Dia tidak sabar untuk berlumba di depan penyokong Perancis buat kali pertama sejak melonjak ke kategori MotoGP musim ini.

“Bagus untuk pergi ke Le Mans selepas hujung minggu hebat seperti kami alami di Jerez. Ada ramai penyokong di GP Perancis dan ia memberi motivasi tambahan buat saya,” katanya.

Juara dunia lima kali, penyandang juara dan pemenang tahun lalu, Marquez sekali lagi mendahului kejuaraan selepas dua kemenangan dan satu tangga kedua dalam empat perlumbaan pertama. Namun dia hanya satu mata di depan rakan senegara dari Sepanyol, Alex Rins.

RINS mampu mencabar Marquez. — FOTO Agensi
RINS mampu mencabar Marquez. — FOTO Agensi

Jurang itu terlalu kecil kerana Marquez terjatuh ketika mendahului GP Amerika.

“Le Mans boleh jadi GP menyukarkan, terutama dengan keadaan cuaca jadi kami perlu bersiap sedia bagi apa saja keadaan,” kata Marquez.

Rins beraksi cemerlang dengan jentera Suzuki setakat ini. Pelumba muda Sepanyol itu menang di Texas selepas Marquez terjatuh dan kedua di Jerez.

“Keputusan akhir-akhir ini amat positif, tapi kami tetap bertenang dan tidak terlalu terbawa-bawa dengan kejayaan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 12:09 PM