Pelumba pasukan Repsol Honda, Marc Marquez menyertai sesi latihan Grand Prix Sepanyol. FOTO AFP
Pelumba pasukan Repsol Honda, Marc Marquez menyertai sesi latihan Grand Prix Sepanyol. FOTO AFP
AFP

Jerez de la Frontera, Sepanyol: Juara dunia enam kali, Marc Marquez berada di tempat ke-14 kelayakan bagi MotoGP Sepanyol selepas terselamat daripada mengalami kecederaan serius apabila terbabas ketika sesi latihan pada sebelah pagi di Jerez sementara Fabio Quartararo menduduki petak utama.

Marquez terjatuh ketika sesi latihan ketiga di litar di mana tangan kanannya patah tahun lalu pada perlumbaan pembukaan yang mengakhiri kempennya pada tahun 2020.

Selepas pemeriksaan perubatan pasukan Honda memuat naik di Twitter bahawa pelumba dari Sepanyol berusia 28 tahun itu akan meneruskan perlumbaan.

"Selepas pemeriksaan terhadapnya, marcmarquez93 disahkan cergas untuk baki saingan GP Sepanyol," kata pasukan Honda.

Marquez terpaksa menempuhi sesi kelayakan pertama dan hanya menjadi pelumba keempat terpantas, terlepas peluang untuk berada dalam kelompok 10 pelumba terbaik pada sesi latihan kedua dan bersaing sengit untuk berada di barisan depan.

Pendahulu kejuaraan, Quartararo mendominasi sepenuhnya pada hujung minggu dengan jentera Yamaha yang diberi tentangan sengit pada kelayakan akhir oleh pelumba satelit Yamaha, Franco Morbidelli dan Jack Miller dari Ducati.

Pelumba Perancis itu mencatat masa terpantas pada penghujung sesi.

"Saya rasa sangat bagus," kata Quartararo.

"Ia adalah salah satu kelayakan yang menyaksikan saya lebih laju daripada kelajuan biasa. Saya fikir seperti saya akan terbabas."

Marquez membuat penampilan semula selepas sembilan bulan berehat dan empat kali menjalani pembedahan, di MotoGP Portugal bulan lalu.

Dia mengakui 'kurang kekuatan' selepas bergelut dengan latihan pada Jumaat di Jerez.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 10:30 PM