BELLARABI  (tengah) meraikan jaringan ketiga pasukan. FOTO AFP
BELLARABI (tengah) meraikan jaringan ketiga pasukan. FOTO AFP
AFP

KEMARAAN mengejutkan Saarbruecken dalam Piala Jerman tersekat pada separuh akhir selepas tewas 0-3 kepada kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen, awal pagi tadi.

Kelab kerdil itu yang kali terakhir beraksi kompetitif pada Mac lalu menewaskan Cologne dan Fortuna Duesseldorf sekali gus pasukan pertama daripada divisyen empat yang mara ke saingan empat terakhir kejohanan.

Jurulatih Saarbruecken, Lukas Kwasniok berkata, mereka telah melakukan yang terbaik untuk meneruskan keajaiban bagi memastikan slot final di Stadium Olimpik Berlin bulan depan namun tidak kesampaian.

Mereka gagal menandingi Leverkusen yang memburu tempat ke Liga Juara-Juara musim depan selain menjadi pasukan pilihan berkunjung ke stadium kecil Saarbruecken yang kosong di selatan Jerman.

Pelawat pantas mendahului dua jaringan menerusi Moussa Diaby dan Lucas Alario dalam tempoh 20 minit yang terus mematahkan semangat tuan rumah untuk bangkit selepas itu.

Kedua-dua gol hasil bantuan Kerem Demirbay yang menghantar Diaby untuk jaringan pembukaan dan gol ketiga oleh Bellarabi juga menerusi hantaran Demirbay pada babak kedua.

Tuan rumah bernasib baik tidak dibolosi jaringan lebih besar apabila Paulinho terlepas beberapa peluang terbaik.

Leverkusen akan berdepan sama ada Bayern Munich atau Eintracht Frankfurt yang akan berentap di Allianz Arena hari ini bagi memburu tempat ke final pada 4 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 7:20 AM