ALEYSHA (kanan) bersama kak Halimatun yang  memperkenalkannya kepada seorang ustazah bagi mendalami agama Islam.
ALEYSHA (kanan) bersama kak Halimatun yang memperkenalkannya kepada seorang ustazah bagi mendalami agama Islam.
Sri Ayu Kartika Amri dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Aleysha atau nama diberi Lee Su Chuen, 24, antara insan terpilih menerima hidayah daripada Allah SWT untuk memeluk Islam pada usia muda.

Seawal usia 15 tahun, gadis yang meminati bidang sejarah dan falsafah itu gemar membuat kajian mengenai pelbagai agama di dalam dan luar negara.

Aleysha berkata, dia tidak membuat kajian secara spesifik mengenai agama Islam sebaliknya hatinya tertarik dengan agama itu dengan izin Allah SWT.

"Sehinggalah pada suatu hari, semasa sedang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan saya berjumpa dengan seorang wanita Muslim. Kak Halimatun sering datang ke tempat saya bekerja dengan selalu berpuasa meskipun bukan bulan Ramadan.

"Atas rasa ingin tahu yang tinggi, saya beranikan diri bertanya kenapa dia berpuasa dan dia memberi penjelasan mengenai puasa putih.

"Dia kemudian bertanya sama ada saya ingin mengetahui lebih lanjut kerana dia boleh membantu mencari guru dan boleh mempelajari lebih mendalam mengenai Islam secara umum," katanya.

Melihat kesungguhan dan minatnya terhadap Islam, Aleysha berkata, kak Halimatun memperkenalkannya dengan seorang ustazah bagi mendalami agama Islam.

Pada September 2020, Aleysha berkata, dia nekad mengucapkan syahadah buat kali pertama dan mula mempelajari kehidupan sebagai Muslim secara berperingkat melalui kelas saudara baharu atau mualaf yang diikuti sehingga kini.

"Peringkat awal, saya tidak beritahu ibu bapa mengenai niat memeluk Islam cuma beritahu adik-beradik dan sepupu kerana mereka lebih rapat dengan saya.

"Selepas peluk Islam barulah saya beritahu ibu bapa. Saya sangat bersyukur mereka menerima keputusan saya, cuma bimbang kesukaran saya untuk balik ke agama asal jika memeluk Islam.

"Namun saya terangkan dengan baik dan Alhamdulillah, mereka menerima keputusan saya. Hubungan saya dan keluarga juga masih erat seperti dulu," katanya yang bakal melangsungkan perkahwinan tahun hadapan.

Malah, katanya, dia juga memilih untuk tidak menukar nama asalnya walaupun memeluk Islam dan secara tidak langsung ia menjadi dakwah kepada orang lain yang sebelum ini prejudis terhadap Islam serta menganggap agama itu hanya untuk orang Melayu.

Aleysha berkata, sebagai saudara baharu sudah tentu masih banyak perlu dipelajari dan berharap dia akan terus istiqomah untuk menjadi wanita solehah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 12:16 PM