PEMAIN Atalanta menjulang trofi Liga League selepas menewaskan Leverkusen 3-0 di Stadium Aviva, Dublin. FOTO REUTERS
PEMAIN Atalanta menjulang trofi Liga League selepas menewaskan Leverkusen 3-0 di Stadium Aviva, Dublin. FOTO REUTERS
Reuters

Dublin: Ademola Lookman meledak hatrik yang membantu Atalanta menewaskan Bayer Leverkusen 3-0 di final Liga Europa, awal pagi tadi, sekali gus menjadi trofi kedua mereka dalam sejarah 117 tahun dan menamatkan rekod tanpa kalah juara Jerman itu.

Lookman bergelut mencipta reputasi di Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Everton, Fulham dan Leicester City sebelum menghidupkan karier di Itaki bersama Atalanta di bawah kendalian jurulatih, Gian Piero Gasperini, menjaringkan dua gol dalam tempoh 26 minit awal sebelum mengesahkan kemenangan ketika perlawanan berbaki 15 minit.

Kemenangan itu menamatkan kemarau dua dekad Gasperini untuk memenangi trofi utama apabila anak buahnya mengatasi skuad Xabi Alonso, Leverkusen atau digelar 'Neverlusen' apabila merekodkan 51 perlawanan tanpa kalah.

Tetapi, sama seperti mereka lakukan ke atas kelab gergasi EPL, Liverpool dan finalis tiga kali, Olympique de Marseille dalam dua pusingan terdahulu, Atalanta tidak memberi peluang kepada lawan mereka kemenangan menakjubkan pada penampilan sulung di pentas final Eropah.

"Kami perlu menyerang, tidak cukup dengan hanya bertahan. Kami tahu pasukan ini bagus ketika menyerang, semua orang luar biasa," kata Gasperini kepada Sky Sports Italia, merujuk kepada pasukannya yang menjadi skuad Itali pertama menang kejohanan itu selepas Parma, 25 tahun lalu.

"Cara kami mencapainya amat penting, kami berhak tanpa dibayangi keraguan apabila berdepan lawan yang kuat. Memenangi Liga Europa adalah pencapaian luar biasa."

"Ia adalah antara satu malam paling indah dalam hidup saya," kata Lookman, yang membawa bola perlawanan sebagai ganjaran hatriknya.

"Ia adalah prestasi menakjubkan daripada pasukan. Kami melakukannya dan mencipta sejarah pada malam ini."

Leverkusen bermula agak goyah dan membuka peluang kepada lawan, tetapi tandukan Gianluca Scamacca sedikit tersasar hasil hantaran lintang Matteo Ruggeri.

Atalanta berada di depan pada minit ke-12 apabila Davide Zappacosta diberi ruang besar di sebelah kanan sebelum Lookman menewaskan Exequiel Palacios dan menjaringkan gol pembukaan.

Lookman terus menceriakan rakan sepasukan menerusi gol kedua pada minit ke-26 apabila kesilapan Leverkusen memberi kelebihan kepada penyerang Nigeria itu merembat kencang dengan kaki kanan dari luar kotak penalti.

Leverkusen mengeluarkan pemain pertahanan, Josip Stanisic dan memasukkan penjaring terbanyak, Victor Boniface ketika rehat, tetapi ia tidak banyak membantu mereka di Stadium Aviva.

Leverkusen hanya gagal menjaringkan gol sekali dalam rekod 42 kemenangan dalam semua kejohanan dan 17 gol dijaringkan dalam tempoh sehingga 90 minit perlawanan, tetapi kali ini gagal merobek benteng Atalanta.

Lookman melengkapkan malam gemilang menerusi serangan balas pantas dengan rembatan kaki kiri untuk mencipta hatrik, iaitu pencapaian keenam di final kejohanan utama Eropah dan yang pertama sejak Jupp Heynckes dari Borussia Moenchengladbach di Piala UEFA 1975.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 6:42 AM