BARA Madasah, 18, dijatuhi hukuman penjara 8 tahun dan dua sebatan kerana melakukan amang seksual keatas pelancong tempatan. FOTO Abdul Rahemang Taiming
BARA Madasah, 18, dijatuhi hukuman penjara 8 tahun dan dua sebatan kerana melakukan amang seksual keatas pelancong tempatan. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Pemandu pelancong dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berumur 17 tahun, 3 Julai lalu.

Tertuduh, Bara Madasah, 18, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga pendatang asing tanpa izin (Pati) didakwa melakukan perbuatan amang seksual ke atas mangsa ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Kapalai, Semporna, kira-kira jam 1.49 tengah hari.

Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa bersama keluarga yang berasal Klang, Selangor, menggunakan khidmat ejen pelancongan, datang ke Semporna untuk bercuti dan melancong ke pulau dan pusat peranginan.

Ketika melakukan aktiviti menyelam (snorkeling), tertuduh dikatakan memegang payu dara mangsa dan perbuatan itu turut dirakam kamera yang dibawa mangsa.

Mangsa menegur tindakan tertuduh tetapi tidak diendahkan. Mangsa memaklumkan kejadian kepada keluarganya sebelum membuat laporan polis.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin dalam hujahnya memohon kepada mahkamah supaya tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran memandangkan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius dan membabitkan kepentingan awam.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman berkuatkuasa daripada tarikh tangkapan iaitu pada 4 Julai selain dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan penghantaran pulang (usir) ke negara asal sebaik selesai menjalani hukuman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 12:12 PM