HAFIDZ Roshdi selepas menghadiri sebutan kes mencederakan bekas isterinya di Mahkamah Kuala Kubu Bharu. FOTO Asyraf Hamzah
HAFIDZ Roshdi selepas menghadiri sebutan kes mencederakan bekas isterinya di Mahkamah Kuala Kubu Bharu. FOTO Asyraf Hamzah
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Kubu Bharu : Pelakon, Hafidz Roshdi, 30, bersyukur apabila bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri menarik balik kes menumbuk pipi kiri yang didakwa dilakukan Hafidz pada 13 Mac lalu sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, di sini, hari ini.

Hafidz ketika ditemui di Mahkamah Majistret di sini, berkata, ini adalah berita gembira untuknya dan berharap dapat menjelaskan kepada orang ramai bahawa mereka sudah berdamai.

"Alhamdulillah, saya rasa sangat berpuas hati. Saya nak ucapkan ribuan terima kasih kepada media yang datang. Terima kasih banyak-banyak. Tentunya rasa gembira. Alhamdulillah rasa bersyukur. Selama ini memang dah tenang, hari ini lagi tenang.

"Saya rasa ini berita yang sangat gembira untuk saya. Saya harap ini membuka mata kepada orang-orang di luar sana, bahawa kami sudah berdamai. Tak ada konfrontasi dan sebagainya," katanya.

Ditanya sama ada keputusan yang dibuat Shuhada itu ada elemen provokasi atau ugutan, Hafidz berkata, tidak ada sebarang isu.

"Tak ada sebarang isu atau sebarang provokasi yang berlaku. Memang kami bersetuju untuk berdamai secara baik. Semuanya secara baik.

"Saya harap semuanya berdamai dan berjalan dengan baik. Isu anak-anak itu dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Ditanya mengenai keadaan kesihatan mentalnya, Hafidz berkata, ia semakin stabil dan kini masih lagi menerima rawatan bulanan.

"Alhamdulillah tak ada masalah. Saya pun setiap bulan ada menjalani pemeriksaan dengan doktor dan makan ubat. Makin sihatlah.

"Setiap bulan saya berjumpa doktor untuk dapatkan maklumat terkini keadaan kesihatan saya di Hospital Shah Alam.

Shuhada bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah untuk prosiding semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 12:00 PM