SHERINE Nazirah (kanan) yang memeluk Islam seawal usia 18 tahun kini di tahun akhir pengajian Diploma Farmasi.
SHERINE Nazirah (kanan) yang memeluk Islam seawal usia 18 tahun kini di tahun akhir pengajian Diploma Farmasi.
Sri Ayu Kartika Amri dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Membuat keputusan untuk memeluk agama Islam sekali gus bergelar mualaf muda bukan perkara mudah kerana ia memerlukan komitmen dan pengorbanan yang tinggi.

Cabaran yang harus ditempuhi kemungkinan lebih hebat, apatah lagi jika masih bergantung kepada keluarga.

Ada yang terpaksa merahsiakan identiti sebagai seorang Islam bagi menjaga perasaan ahli keluarga serta mengelakkan diri daripada dibuang atau disisih oleh keluarga, malah ada juga sebaliknya, mendapat sokongan keluarga.

Ikuti perkongsian, saudara baharu mengenai pengalaman mereka menjadi mualaf muda yang dilaporkan wartawan SRI AYU KARTIKA AMRI dan RAJA NORAINA RAJA RAHIM.

Tiga tahun lalu, pada usia 18 tahun, Sherine Nazirah Juwairiah melafazkan syahadah sekali gus memeluk agama Islam.

Meskipun masih remaja, anak sulung daripada dua beradik itu tidak sesekali berasa ragu-ragu dengan pilihan jalan hidupnya itu.

Penuntut kolej universiti awam yang kini berusia 21 tahun itu berkata, ajaran Islam sudah sebati dengan jiwanya sejak di bangku sekolah.

"Saya mempunyai ramai rakan beragama Islam di sekolah. Apabila lihat mereka solat dan berpuasa, saya tertanya-tanya kenapa mereka lakukan itu.

"Saya mula belajar berpuasa ketika usia 15 tahun. Tapi hanya puasa separuh hari, bila balik rumah saya tak puasa kerana takut dimarahi ibu bapa namun kadang-kadang saya berjaya puasa sepenuh hari," katanya.

Gadis berasal dari Kuala Lumpur itu berkata, walaupun ketika itu dia masih bersekolah namun perasaannya untuk memeluk Islam sudah membuak-buak.

SHERINE Nazirah.
SHERINE Nazirah.

Berikutan dirinya yang masih di bawah jagaan ibu bapa, Sherine berkata, dia tidak boleh memeluk Islam namun dia belajar mengenai agama itu daripada seorang rakan baik tanpa pengetahuan orang tuanya.

Katanya, ketika itu dia sudah mengamalkan beberapa perkara kecil sebagai seorang Muslim seperti mengambil makanan halal dan tidak melakukan perkara dilarang agama.

"Apabila tamat sekolah, saya mula mendalami Islam dengan membuat pencarian sendiri di internet dan menghadiri beberapa kelas Fardu Ain termasuk anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

"Selepas setahun mendalami Islam, saya akhirnya mengucapkan syahadah dan bermulalah sepenuhnya kehidupan saya sebagai seorang Muslim termasuk mengerjakan solat dan mengaji al-Quran," katanya.

Penuntut tahun akhir Diploma Farmasi itu berkata, dia bersyukur ibu bapa memberikan sokongan dengan keputusan itu malah mereka tidak pernah menghalangnya menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim di rumah.

Kata Sherine, kini adik perempuannya yang berusia 17 tahun turut menunjukkan minat yang sama dan mula mempelajari mengenai agama Islam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 12:01 PM