DR Dzulkefly, gambar fail. FOTO NSTP
DR Dzulkefly, gambar fail. FOTO NSTP
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Jumlah kanak-kanak berusia bawah 18 tahun disahkan autisme meningkat kepada 1,681 kes tahun lalu berbanding 183 pada 2013.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah kes kanak-kanak berusia bawah 18 tahun yang disahkan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) juga meningkat daripada 79 kes pada 2013 kepada 268 kes pada 2023.

"Peningkatan kes ADHD dan autisme boleh dikaitkan dengan beberapa faktor antaranya program pengesanan awal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjalankan program pengesanan awal ketidakupayaan termasuk autisme dan ADHD sejak 1990-an.

"Latihan berterusan, pembangunan Panduan Amalan Klinikal (CPG) dan saringan menggunakan M-CHAT meningkatkan keupayaan anggota kesihatan dalam mengesan awal kes-kes ini," katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai punca berlakunya peningkatan autisme danADHD.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata, kesedaran ibu bapa dan masyarakat mengenai autisme dan ADHD juga semakin meningkat melalui bahan pendidikan kesihatan yang mudah diakses masyarakat, kempen dan sambutan Hari Autisme Sedunia setiap tahun.

"Selain itu, pengesanan kes ADHD dan autisme juga dilakukan di sekolah.

"Guru-guru dilatih untuk mengenal pasti kes ini dalam kalangan pelajar, membolehkan intervensi awal dijalankan," katanya.

Mengulas mengenai sama ada kajian dilaksanakan untuk mengurangkan kes terbabit, Dr Dzulkefly mengakui sehingga kini, tiada kajian khusus untuk mengurangkan kes ADHD dan autisme kerana puncanya belum diketahui.

"Namun, berdasarkan tinjauan literature beberapa amalan terbaik boleh dilakukan bagi mengurangkan risiko terutama penjagaan sebelum hamil yang baik, elakkan pencemaran asap rokok, ibu hamil tidak merokok, minum alkohol atau mengambil ubat tanpa nasihat doktor.

"Pada masa sama, amalkan pemakanan sihat dan ambil suplemen seperti zat besi dan asid folik untuk perkembangan otak bayi serta elakkan racun perosak dan plumbum.

"Selain itu, pastikan persekitaran bebas stress untuk perkembangan emosi dan kognitif yang sihat serta pengesanan dan intervensi awal untuk meningkatkan keupayaan anak mengatasi masalah dan menyertai masyarakat sepenuhnya serta memberi impak positif terhadap perkembangan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 12:09 PM