PEMAIN Atletico kecewa selepas tumpas kepada Leverkusen. FOTO AFP
PEMAIN Atletico kecewa selepas tumpas kepada Leverkusen. FOTO AFP
Reuters

Leverkusen: Ia nasib yang berbeza buat Atletico, yang sebelum ini mengalahkan Porto 2-1 minggu lalu, kali ini tumbang 0-2 di tangan Bayer Leverkusen gara-gara serangan balas pantas.

"Kami sangka kami mampu mengawal permainan dengan sempurna kerana tidak ada apa yang berlaku namun serangan balas pantas membolehkan mereka memenangi perlawanan dan kami harus melakukan lebih baik," kata ketua pasukan Atletico, Koke.

Kelab Jerman itu dilihat lebih bernafsu untuk mencari kemenangan berbanding pelawat dan akhirnya berjaya menemui sasaran apabila Robert Andrich merembat masuk hantaran Jeremie Frimpong pada minit ke-84.

Pertahanan Belanda itu ternyata memberi igauan ngeri buat Atletico apabila dia yang masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua turut terbabit dalam gol kedua Leverkusen.

Frimpong melakukan hantaran leret pada minit ke-87 sebelum ia disempurnakan dengan penuh yakin Moussa Diaby.

Kemenangan itu membolehkan Leverkusen berada di tangga kedua dalam Kumpulan B dengan mengumpul tiga mata, sama seperti Atletico yang menghuni tempat ketiga.

Leverkusen mencatat empat kekalahan daripada enam perlawanan Bundesliga musim ini dan juga tumpas kepada Club Brugge pada aksi pembukaan Kumpulan B minggu lalu.

Bagaimanapun, kemenangan yang dicatatkan bakal menaikkan semangat mereka tambahan pula menumpaskan pasukan gergais dalam saingan Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2022 @ 11:36 AM