MUHAMMAD Fauzan Johan.
MUHAMMAD Fauzan Johan.
Sri Ayu Kartika Amri dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Bergelar mualaf pada usia 20 tahun, Kelvin Gill Jose Apiag atau nama Islamnya, Muhammad Fauzan Johan sudah mula tertarik dengan Islam sejak kecil lagi.

Walaupun sering mendengar cabaran mereka yang memeluk Islam perlu berhadapan dengan pelbagai rintangan, namun itu tidak mematahkan semangatnya.

Anak kelahiran Sandakan, Sabah ini bertuah kerana perjalanannya untuk menjadi saudara baharu mendapat sokongan penuh ahli keluarga.

"Alhamdulillah, penerimaan keluarga saya semuanya baik dan mereka tiada masalah saya memeluk Islam. Malah, ramai rakan-rakan yang menyokong saya untuk memeluk Islam biarpun kami berlainan agama.

"Lagi pun, bapa saya sendiri sudah terlebih dahulu memeluk Islam sejak 2018," katanya yang kini menjalani latihan di Kolej Komuniti Sandakan dalam bidang elektrik.

Muhammad Fauzan berkata dia membesar dalam keluarga yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, membuat dia tergerak hati untuk mendalami Islam.

"Bagaimanapun, saya mula 'menyiasat' serta mengkaji lebih mendalam agama Islam ketika usia 18 tahun.

"Akhirnya, saya mengambil keputusan terbesar dalam hidup saya di mana pada 16 Januari 2024 saya memeluk Islam secara rasmi.

"Saya memilih agama suci ini kerana Allah SWT yang menggerakkan hati saya untuk memeluk Islam dan itu pilihan saya sendiri.

"Saya sangat bersyukur kerana keluarga, rakan-rakan dan orang sekeliling menyokong niat saya menjadi Muslim," katanya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu melahirkan kesyukuran kerana tahun ini paling bermakna buatnya dan pengalaman mengucapkan dua kalimah syahadah tidak mampu ditukar dengan wang ringgit.

Bagaimanapun, menurutnya menjadi mualaf muda bukan mudah kerana cabaran paling utama yang harus ditempuhinya sekarang adalah untuk tetap istiqamah mendirikan solat dan meninggalkan larangan dalam Islam.

"Masih banyak yang perlu saya pelajari dan saya mahu menjadi Muslim sejati. Syukur ada kawan yang mengajar saya untuk mendalami ilmu agama, malah ada juga orang-orang masjid dengan rela hati datang untuk mengajar saya solat dan smembaca al-Quran.

"Sampai sekarang inipun saya masih lagi dalam proses belajar kerana perjalanan saya masih jauh," katanya yang bersyukur perjalanannya masuk Islam bagai sudah ditentukan oleh Allah SWT.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 12:01 PM