Pemain Mainz, Marcus Ingvartsen (kanan) meraikan jaringan kemenangan ke atas Leverkusen dalam aksi Bundesliga Jerman. FOTO AFP
Pemain Mainz, Marcus Ingvartsen (kanan) meraikan jaringan kemenangan ke atas Leverkusen dalam aksi Bundesliga Jerman. FOTO AFP
AFP

Mainz, Jerman: Pemburuan Bayer Leverkusen ke Liga Juara-Juara tersentak dengan kekalahan ke atas Mainz menerusi dua gol lewat yang membantu kemenangan 3-2 dalam saingan Bundesliga.

Leverkusen kekal di tempat ketiga dalam carta dengan 41 mata, 11 mata di belakang pendahulu Bayern Munich dan tujuh mata mengatasi Leipzig yang kini mengintai peluang untuk layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan tetapi mempunyai kelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Leverkusen meledak gol pembukaan pada minit ke-35 menerusi penyerang Republik Czech, Patrik Schick yang kini mencatat 20 gol liga musim ini.

Bagaimanapun, Schick terpaksa meninggalkan padang kerana mengalami kecederaan pada awal babak kedua.

Aaron Martin menyamakan kedudukan buat Mainz selepas sejam permainan namun Lucas Alario memastikan kelebihan buat Leverkusen menerusi jaringan pada minit ke-74 selepas menerima umpanan Moussa Diaby.

Mainz enggan menyerah kalah dan menyamakan kedudukan buat kali kedua pada minit ke-84 menerusi pemain Belanda, Jean-Paul Boetius diikuti jaringan kemenangan lewat oleh pemain Denmark, Marcus Ingvartsen ketika perlawanan berbaki dua minit untuk ditamatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Februari 2022 @ 8:25 AM