Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bapa kepada bayi Nour Rania Asyifaa atau lebih dikenali sebagai Baby Syifaa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan harta iaitu wang berjumlah RM67,000 milik seorang wanita, tahun lalu.

Tertuduh, Yuseri Yusoff, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.

"Saya mengaku tidak bersalah," katanya.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak ini didakwa menyalahguna harta iaitu RM67,000 milik seorang wanita, di sebuah premis, Jalan Wangsa Delima 6, Wangsa Maju di sini pada 20 Julai hingga 12 Oktober tahun lalu.

Pempengaruh media sosial itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Gaithri Thomas yang mewakili tertuduh merayu kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya yang bekerja sebagai pempengaruh, tidak mempunyai pendapatan tetap, selain perlu menyara seorang anak perempuan berusia sembilan tahun yang masih bersekolah.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Illi Marisqa membenarkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 26 Ogos depan.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menahan lelaki itu pada 2.45 petang, Selasa lalu oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, berhubung kes penipuan dalam urusan yuran guaman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, lelaki terbabit yang juga aktivis memperjuangkan kes-kes penganiayaan disiasat berhubung menyeleweng wang sumbangan orang ramai yang disalurkan ke akaun syarikatnya, YY Community Center.

Sebelum ini, kisah kanak-kanak malang itu meraih simpati pelbagai pihak selepas bayi itu meninggal dunia di pusat asuhan pada 2022.

Ramai yang menghulurkan derma kepada keluarga Baby Syifaa sebagai sokongan supaya mereka mendapatkan peguam terbaik, untuk membela nasibnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata, menerusi ujian saringan air kencing, suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

YUSERI ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
YUSERI ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Julai 2024 @ 12:03 PM