GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sesi menziarahi ahli keluarga di rumah datuk bertukar tragedi apabila kanak-kanak perempuan berumur tiga tahun ditemukan lemas oleh abangnya dalam kolam renang yang terletak di tepi kediaman jiran di Tambun, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kejadian itu adalah kes keempat kematian akibat lemas membabitkan kanak-kanak di bandaraya ini pada tahun ini yang berpunca akibat ditinggalkan ibu bapa atau penjaga tanpa pengawasan sepatutnya.

Mohd Yusri berkata, kematian kanak-kanak terbabit disahkan pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas dibawa oleh warisnya sejurus dijumpai oleh abang mangsa dalam keadaan terapung dalam kolam renang jam 6.30 petang semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa bersama ibunya berada di dalam rumah lot berkenaan kerana menziarahi ahli keluarga, manakala bapa mangsa keluar menghantar saudara balik ke tempat penginapan lain.

"Mangsa dijumpai oleh abangnya dalam keadaan terapung di dalam kolam renang kanak-kanak sebelum dihantar oleh warisnya ke HRPB untuk rawatan.

"Pada jam 9.25 malam tadi, polis menerima maklumat daripada pihak HRPB kematian kanak-kanak itu akibat lemas. Bedah siasat oleh Jabatan Forensik pada hari ini turut mendapati punca kematian mangsa adalah lemas," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata, sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 33(1) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) iaitu kerana membiarkan kanak-kanak tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan sehingga dua tahun atau kedua-duanya.

"Polis amat memandang serius perkara ini dan akan mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap ibu bapa atau penjaga yang membiarkan kanak-kanak bawah jagaan masing-masing tinggal tanpa pengawasan yang berpatutan sehingga menyebabkan kemalangan jiwa," katanya.

Pada 26 April lalu, media melaporkan seorang perempuan berusia 21 bulan ditemui lemas dalam kolam renang kanak-kanak ketika datang menziarahi bersama ibu dan bapanya ke kediaman datuk mangsa di Tambun, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 3:10 PM