Agensi

Seoul: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan lemas dalam kolam di bandar Busan, Korea Selatan, semasa kelas renang pada petang Rabu, kata polis Busan.

Kanak-kanak terbabit dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selama seminggu selepas kemalangan itu.

Dia ditemukan tidak sedarkan diri berhampiran tangga kolam pada 7.45 malam, 8 Februari.

Mangsa lemas selepas jaket keselamatannya tersangkut antara anak tangga ketika menyelam di dalam air.

Rakaman kamera pengawasan menunjukkan jurulatih renang menjaga pelajar lain di hujung kolam, manakala mangsa dan seorang lagi kanak-kanak berada di kawasan bertentangan.

Kolam renang dimiliki dan dikendalikan oleh kompleks pangsapuri tempat kanak-kanak itu tinggal mempunyai kedalaman kira-kira 1.4 meter (m), sedikit dalam berbanding ketinggian kanak-kanak itu iaitu 1.09 m.

Menurut polis, tiada penyelamat yang bertugas semasa kemalangan itu.

Ibu kanak-kanak itu ketika ditemui media tempatan berkata, anaknya meninggal dunia kerana kecuaian anggota keselamatan di kolam itu.

"Ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dan boleh dicegah," katanya.

Polis sedang menjalankan siasatan berhubung punca kejadian itu termasuk mempertimbang pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian terhadap jurulatih dan pegawai kolam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 4:13 PM