BAS dinaiki pelancong warga asing yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Ihsan Pembaca
BAS dinaiki pelancong warga asing yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


Genting Highlands: Dua warga China maut, manakala 13 lagi dilaporkan cedera selepas bas dinaiki mereka terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan di Kilometer (KM) 16.5 Jalan Turun Genting Highlands, dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, siasatan awal dilakukan mendapati seramai 21 individu terbabit dalam kemalangan itu.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan 18 penumpang warga asing serta tiga warga tempatan iaitu masing-masing seorang pemandu bas, pembantu dan pemandu pelancong.

"Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dari bas dengan 13 mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), manakala enam mangsa lain dihantar ke Hospital Bentong.

"Dua mangsa pula disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian iaitu Zhang Ping berusia 58 tahun dan Wang Suhong berusia 49 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa yang maut itu dihantar ke Hospital Bentong untuk proses bedah siasat.

"Semakan dilakukan terhadap pemandu bas berusia 32 tahun berkenaan mendapati terdapat 27 saman lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu.

"Polis memohon kerjasama mana-mana pihak yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 6:25 PM