BARISAN pemain Belanda. FOTO Agensi
BARISAN pemain Belanda. FOTO Agensi
Reuters

Wolfsburg, Jerman: Perbincangan terbuka dari hati ke hati babitkan pemain Belanda dapat menyelesaikan banyak isu termasuk bagaimana untuk meningkatkan persembahan pasukan menjelang saingan 16 terbaik Euro 2024 menentang Romania, Selasa ini, kata tonggak tengah, Tijjani Reijnders.

Pada saingan peringkat Kumpulan D sebelum ini, Belanda gagal mempamerkan aksi bertenaga apabila sekadar menamatkan kempen di tangga ketiga dan mara ke pusingan kalah mati sebagai empat pasukan terbaik di tempat ketiga.

"Kami melalui beberapa detik sukar sepanjang kempen peringkat kumpulan tetapi saya yakin segalanya akan bertambah baik selepas siri luahan hati di lakukan.

"Apa yang jelas, jika kami menang kami akan mara ke pusingan berikutnya tapi kalua sebaliknya kami akan pulang," katanya.

Ujarnya lagi, hasil analisis video perlawanan sebelum ini, kami sedar banyak kelemahan perlu diperbaiki segera untuk kami terus bernyawa dalam kejohanan ini.

"Saya sudah melihat persembahan kami dan melihat apa yang boleh diperbaiki. Kita kena pastikan ia tidak berulang lagi.

"Romania adalah lawan yang liat dan kami perlu lipat gandakan usaha. Mereka juga bermain dengan intensiti yang tinggi.

"Kami perlu lebih berhati-hati dalam setiap gerakan agar kesilapan ketika menentang Austria tidak diulangi," katanya.

Pada aksi terakhir kumpulan menentang Austria, Belanda yang turun sebagai pasukan pilihan tewas 3-2.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2024 @ 7:04 PM